Automotif

MG Motor Lancar Model Hatchback Elektrik Ke Pasaran Malaysia – MG4

Share

Tidak lama lalu, peminat automotif Malaysia riuh dengan kehadiran ujian model MG Motor, MG4, yang meningkatkan spekulasi akan kedatangan SAIC Motor Malaysia dengan membawa model tersebut ke pasaran tempatan. 

Hari ini, spekulasi itu menjadi kenyataan dengan pengumuman rasmi bahawa jenama ikonik British, MG Motor, melancarkan hatchback elektrik terbaru mereka – MG4 ke pasaran Malaysia.

Model MG4 dikelaskan sebagai hatchback segmen-C yang menyajikan empat pilihan varian: MG4 STD (standard), LUX, Extended LUX, dan varian prestasi, X-Power. 

Pada asasnya, terdapat tiga varian yang menggunakan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang, manakala varian X-Power menggunakan dwi-motor pacuan semua roda. 

Model ini menawarkan lima ciri mod pemanduan, termasuk Eco, Normal, Sport, Snow, dan Custom, berserta tiga tahap Kinetic Energy Recovery System (KERS).

Kredit Foto: Topgear Magazine

Berikut adalah butiran prestasi dan spesifikasi untuk setiap varian:

MG4 STD (Standard)

  – Output: 170PS, 250Nm

  – Kapasiti Bateri: 51kWh

  – Jarak Perjalanan: 350km (WLTP)

MG4 LUX

  – Output: 203PS, 250Nm

  – Kapasiti Bateri: 64kWh

  – Jarak Perjalanan: 430km (WLTP)

MG4 Extended LUX

  – Output: 245PS, 258Nm

  – Kapasiti Bateri: 77kWh

  – Jarak Perjalanan: 520km (WLTP)

MG4 X-Power

  – Output: 435PS, 600Nm

  – Kapasiti Bateri: 64kWh

  – Jarak Perjalanan: 384km (WLTP)

Kredit Foto: Topgear Magazine

Untuk pengecasan, model ini menyokong pengecasan sehingga lapan jam menggunakan pengecasan AC Type 2 7kW, dan pengecasan DC 150kW boleh mencapai dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 26 minit.

Dari segi rekaan luaran, MG4 dilengkapi dengan lampu hadapan projektor LED dan lampu nyalaan siang LED yang dipadankan dengan reka bentuk bampar hadapan yang sporty dan agresif. Bagi bahagian belakang, ia menampilkan lampu belakang LED memanjang dengan tambahan spoiler aerodinamik pada bahagian atas.

Bagi ruang dalaman, konsol tengah menampilkan paparan infohibur terapung 10.25 inci dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto. Terdapat juga tombol pilihan gear jenis rotary dan pengecasan perantis tanpa wayar serta USB port. Paparan klustermeter digital 7 inci bagi pemandu disertakan dengan stereng bersalut kulit dan butang kawalan pada stereng.

Kredit Foto: Topgear Magazine

Dari segi keselamatan, model ini dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, dan BA, bersama dengan 10 komponen penderia sistem bantuan dan keselamatan yang digelar sebagai MG Pilot. Antara ciri keselamatan termasuk Adaptive Cruise Control, Amaran Brek Kecemasan, Lane Keep Assist, dan banyak lagi.

Model MG4 ini ditawarkan dalam tujuh pilihan warna dan dilengkapi dengan pakej waranti yang komprehensif, termasuk waranti kenderaan selama 7 tahun atau 150,000km dan waranti bateri selama 8 tahun atau 180,000km.

Berikut adalah harga jualan bagi setiap varian model MG4 elektrik terbaharu:

– MG4 STD (Standard) – RM 104,000

– MG4 LUX – RM 129,000

– MG4 Extended LUX – RM 149,000

– MG4 X-Power – RM 159,000

Tempahan kini dibuka, dan pelanggan boleh melawat mana-mana bilik pameran MG atau ke roadshow seperti yang tertera pada tarikh yang dinyatakan.

Kredit Foto: Careta

Baca: Vauxhall Corsa Electric Yes Edition Diumumkan Sebagai Salah Satu EV Termurah di UK

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan