Mercedes-Benz telah memperkenalkan GLC EQ 2026, SUV elektrik sepenuhnya yang akan menjadi pengganti kepada EQC, sekali gus membuka tirai kepada apa yang digelar CEO Ola Källenius sebagai “produk ofensif terbesar dalam sejarah syarikat.” Model ini dijadualkan mula dijual secara global pada awal 2026.
Berbeza dengan EQC yang hadir dengan identiti tersendiri, GLC EQ mengekalkan nama dan bahasa rekaan model GLC enjin pembakaran, namun dipasang pada platform elektrik khusus MB.EA.
Secara visual, GLC EQ masih mengekalkan imej sebuah GLC, tetapi perincian berbeza jelas kelihatan pada bahagian hadapan dengan penggunaan gril elektrik eksklusif ‘Iconic Grille’
. Ia tampil lebih besar dan tegak berbanding model EQ sebelumnya.Dari segi saiz, ia hampir sama dengan GLC ICE, namun jarak roda kini mencecah 2,972 mm lebih panjang 80 mm daripada GLC standard dan hampir 100 mm lebih panjang berbanding EQC. Kesan daripada perubahan ini ialah ruang kabin lebih luas, tambahan ruang kaki dan kepala, but sebesar 570 liter, serta ruang but hadapan kenderaan berkapasiti 128 liter.
Versi pelancaran GLC EQ ialah GLC 400 EQ, menggunakan konfigurasi dwi-motor dengan 483 hp. Ia menggabungkan motor segerak magnet kekal di gandar belakang serta motor hadapan baharu yang boleh dinyah-aktif apabila tidak diperlukan, bagi meningkatkan kecekapan.
Sistem ini turut dilengkapi kotak gear dua kelajuan dengan nisbah 11:1 dan 5:1 teknologi yang jarang digunakan dalam EV, direka bagi mengimbangi pecutan dan kecekapan jarak jauh.
Bateri 94 kWh NMC (nickel-manganese-cobalt) memberikan jarak gerak lebih 435 batu (700 km) mengikut piawaian WLTP. Dengan seni bina 800V, ia boleh menerima pengecasan sehingga 330 kW, manakala penyesuai DC akan ditawarkan bagi pasaran yang menggunakan pengecas 400V.
GLC EQ menggunakan sistem suspensi multilink di hadapan dan belakang, dengan pilihan air suspension adaptif. Sistem ini boleh merendahkan kenderaan pada kelajuan tinggi untuk mengurangkan seretan aerodinamik, sekali gus meningkatkan jarak gerak.
Pilihan rear-wheel steering ditawarkan, mengurangkan jejari pusingan kepada hanya 11.2 meter kelebihan praktikal untuk SUV bersaiz sederhana besar ini.
Mercedes juga memperkenalkan sistem brek baharu jenis ‘one-box’ yang menggabungkan brek geseran dan brek regeneratif dalam satu unit. Empat tahap regenerasi boleh dipilih, dengan mod paling agresif mampu menjana semula tenaga sehingga 300 kW.
Bahagian dalaman GLC EQ direka dengan falsafah “analogue luxury meets digital elegance”. Reka bentuk konsol tengah mengalir ke panel instrumen dengan corong udara serta gril pembesar suara yang direka semula.
Fokus utama ialah Hyperscreen 39.1 inci, skrin digital terbesar pernah dipasang dalam model Mercedes, dipacu oleh sistem operasi terkini MB.OS.
Mercedes turut menawarkan Vegan Package pakej pilihan di mana semua material lembut dalam kabin diperakui Vegan Society, selari dengan pendekatan kelestarian syarikat.
GLC EQ dilengkapi dengan rangkaian sistem bantuan pemandu terkini, termasuk fungsi ‘transparent bonnet’ untuk kegunaan off-road. Melalui kamera, pemandu boleh melihat keadaan jalan di bawah kenderaan bagi meningkatkan tahap kawalan.
Pengeluaran GLC EQ akan dijalankan di Bremen, Jerman, dengan tambahan kapasiti di Hungary dan China. Walaupun harga rasmi belum diumumkan, ia dijangka berada dalam lingkungan £65,000, sedikit lebih tinggi daripada GLC ICE (bermula sekitar £54,450).
Baca Juga : Mercedes-AMG Konsep GT XX – Elektrik Berprestasi 1,360 HP
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Kredit Artikel : AUTOCAR