Automotif

Mercedes-Benz GLC Elektrik Dinobat German Premium Car of the Year 2027!

Share

Mercedes-Benz GLC Elektrik Dinobat German Premium Car of the Year 2027

Mercedes-Benz GLC elektrik serba baharu mencatat satu lagi pencapaian apabila dinobatkan sebagai German Premium Car of the Year 2027, menerusi anugerah German Car of the Year (GCOTY).

Pengiktirafan tersebut diberikan oleh barisan juri yang terdiri daripada wartawan automotif Jerman, pencipta kandungan berpengalaman serta juri antarabangsa selepas menilai barisan model baharu yang diperkenalkan di pasaran Eropah.

Menurut pihak penganjur, GLC elektrik mendapat perhatian menerusi konsep keseluruhan yang seimbang selain karakter pemanduan yang menitikberatkan aspek keselesaan.

GLC Masuk Era Elektrik

GLC selama ini merupakan antara rangkaian model terlaris Mercedes-Benz di peringkat global. Untuk generasi elektrik baharu ini, Mercedes-Benz cuba mengekalkan karakter praktikal dan premium model tersebut sambil membawa teknologi elektrifikasi serta digitalisasi ke tahap lebih tinggi.

Ia dibangunkan dengan memberi tumpuan kepada penggunaan harian, termasuk perjalanan jarak jauh, ruang kabin serta tahap keselesaan penumpang. Mercedes-Benz turut menyediakan ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 128 liter, selain kemampuan menunda sehingga 2.4 tan.

Antara kelengkapan pilihan yang ditawarkan ialah sistem suspensi udara AIRMATIC dan sistem stereng gandar belakang sehingga 4.5 darjah. Kombinasi ini direka untuk meningkatkan keselesaan ketika bergerak selain menjadikan SUV tersebut lebih lincah ketika dikendalikan.

Baca Juga: Harley-Davidson Breakout Custom Bawa Jack NBC Raih Gelaran Creators Custom Clash 2026

MBUX Hyperscreen 99.3 cm

Bahagian kabin turut menerima pendekatan digital baharu menerusi pilihan MBUX Hyperscreen berukuran 99.3 cm, yang menurut Mercedes-Benz merupakan paparan terbesar pernah digunakan oleh jenama itu.

Sistem berkenaan beroperasi menggunakan Mercedes-Benz Operating System (MB.OS), yang mengintegrasikan fungsi infotainmen, keselesaan, pengecasan serta sistem bantuan pemanduan dalam satu ekosistem.

Ia turut menyokong kemas kini perisian secara over-the-air (OTA) menerusi Mercedes-Benz Intelligent Cloud.

Untuk teknologi bantuan pemanduan pula, fungsi-fungsi berkenaan dikumpulkan di bawah sistem MB.DRIVE.

Antara ciri standard yang dinyatakan ialah DISTRONIC Distance Assist dan Parking Assist, manakala pakej tambahan boleh memperluaskan fungsi bantuan pemanduan sehingga tahap SAE Level 2, selain sistem pandangan sekeliling 360 darjah untuk membantu ketika parkir.

Dinilai Bersama Model Lain di Pasaran Eropah

Dalam proses pemilihan GCOTY, setiap model bukan sahaja dibandingkan dengan pesaing dalam segmen masing-masing, malah turut dinilai secara silang kategori.

Barisan juri akan menguji dan menilai model-model baharu utama yang dilancarkan di pasaran Eropah sebelum pemenang bagi setiap kategori ditentukan.

Kemenangan GLC elektrik ini hadir ketika Mercedes-Benz meraikan ulang tahun 140 Years of Innovation, sekali gus menjadi satu lagi pengiktirafan kepada usaha jenama berkenaan dalam menggabungkan teknologi elektrifikasi, perisian serta ciri premium pada generasi kenderaan baharunya.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Zack Danny