Semalam, Mercedes-Benz Malaysia menampilkan Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC Coupé terbaharu. Sebagai ‘saudara’ sporty kepada GLC SUV, ia dilihat telah melengkapkan rangkaian kenderaan Mercedes-Benz yang paling laris.
Secara ringkasnya, GLC 300 Coupé bernadikan enjin berkapasiti 1,999cc yang menghasilkan kuasa setinggi 258 hp pada 5,800 rpm dan daya kilas sehingga 400 Nm pada julat antara 2,000 dan 3,200 rpm.
Kenderaan hebat ini mampu menghasilkan pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya 6.3 saat sahaja, dengan kelajuan maksimum setinggi 246 km/j. Tidak lupa dengan teknologi hibrid yang ada, ia memberikan kuasa sebanyak 17 kW dengan daya kilas 205 Nm, memberikan kesan ekstra kepada prestasi keseluruhan.
Selain daripada prestasi yang mengagumkan, kenderaan ini juga mempunyai berat yang relevan iaitu 1,945 kg.
Menurut Bettina Plangger, Naib Presiden Jualan & Pemasaran, Mercedes-Benz Cars Malaysia & SEA II, “Kami gembira memperkenalkan Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC Coupé yang baru di mana hasil kecekapan bertemu dengan penampilan visual yang tiada tandingan. SUV mewah ini adalah bukti kepada kemewahan yang terperinci dengan reka bentuk inovatif, dan kami gembira untuk mempersembahkannya kepada pelanggan kami di Malaysia”.
GLC 300 menggabungkan prestasi sporty dengan kecekapan tinggi. Kenderaan ini diberi sentuhan hibrid ringan dengan teknologi 48 volt dan penjana-starter bersepadu untuk tenaga tambahan.
Ciri utama GLC Coupé yang baharu adalah siluet sporty, ini kerana permukaan dramatik di keseluruhan luarannya menononjolkan keseimbangan antara elegan dan kuasa.
AMG Line dengan pakej Chrome menampilkan rim aloi ringan multi-spoke AMG 20-inci dan liner roda berwarna. Selain itu, sistem brek telah ditambah baik dengan cakera yang diperbesarkan untuk sentiasa memberikan tindak balas yang tertinggi, sepanjang masa.
GLC 300 juga didatangkan dengan bumbung terapung panoramik yang menambahkan nilai estetik pada kenderaan ini dan juga memberikan penumpang pencahayaan yang mencukupi di dalam.
Model ini juga dilengkapi dengan DIGITAL LIGHT iaitu perincian cahaya yang terhasil dari matriks LED dalam unit lampu hadapan yang boleh dikawal secara individu. Ini membenarkan pancaran dan kawalan cahaya yang bersasar dan dinamik bergantung kepada situasi.
Seperti semua model Mercedes-Benz, keselamatan adalah penting, dan GLC 300 yang baharu juga tidak terkecuali, ia datang dengan sistem PRE-SAFE®, Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, dan Active Brake Assist.
Selain itu, perlindungan kenderaan GUARD 360° turut menawarkan pemantauan menyeluruh persekitaran kenderaan dengan sistem penggera pecah masuk dan anti-pencurian dengan perlindungan tarik.
Pakej Parking dengan kamera 360° dan Bantuan Parkir Aktif dengan PARKTRONIC mengubah cabaran meletak kereta di ruangan sempit menjadi kisah silam. Pemandu boleh meletakkan kereta dengan mudah dengan visualisasi dinamik dan maklum balas lisan atau biarkan kenderaan diparkir dengan PARKTRONIC.
Ruang dalaman GLC 300 Coupé yang baharu memancarkan kemewahan dan kesukanan dengan ciri-ciri dalaman AMG Line yang merangkumi stereng sukan berlapiskan kulit nappa, panel instrumen dan pinggang dilitupi dengan kulit buatan ARTIC.
Kabin kenderaan ini adalah satu contoh keanggunan, ini kerana bahagian atasnya memiliki profil seperti sayap dengan ventilasi yang lebih nipis yang telah direka semula. Di bahagian bawah, kawasan hiasan yang luas mengalir dengan lancar ke dalam konsol tengah yang melengkung.
Seterusnya, skrin LCD 12.3-inci dan paparan tengah 11.9-inci kelihatan seperti terapung di atas permukaan panel hadapan.
Untuk tahap keselesaan yang lebih tinggi, kenderaan ini dilengkapi dengan Pakej KEYLESS-GO, Pakej Boot, Kawalan Iklim Automatik THERMATIC, dan pintu bagasi EASY-PACK.
Sistem hiburan MBUX (Mercedes-Benz User Experience) turut dinaik taraf untuk menawarkan kemudahan penggunaan yang lebih baik kepada pemandu.
Untuk maklumat lanjut mengenai Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC Coupé yang baharu, lawati cawangan jualan mereka atau layari ruang pameran dalam talian kami di laman sesawang Mercedes-Benz Store hari ini.
Menurut Mercedes-Benz, harga jualan yang dicadangkan dengan cukai jualan 10% bagi GLC 300 4MATIC Coupé bermula dari RM 469,888 tanpa insurans.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.