Automotif

Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) 2026 Tampilkan Teknologi Baharu Kenderaan Komersial

Share

Pameran Kenderaan Komersial Terbesar di Malaysia Tampil dengan Lebih Banyak Penyertaan Antarabangsa

Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) kembali untuk edisi ketujuh dengan skala yang lebih besar, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pameran kenderaan komersial terbesar di Malaysia.

Berlangsung daripada 14 hingga 16 Mei 2026 di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), acara ini memberi tumpuan kepada masa depan industri pengangkutan komersial dengan penekanan terhadap elemen ESG (Environmental, Social & Governance).

Majlis pelancaran rasmi ekspo tiga hari ini disempurnakan oleh Menteri Pengakutan Malaysia YB Loke Siew Fook.

Penyertaan Antarabangsa

Menurut pihak penganjur, MCVE 2026 menyaksikan peningkatan ketara penyertaan pempamer luar negara berbanding edisi terdahulu.

Beberapa pengeluar menggunakan platform ini untuk melancarkan produk baharu, manakala sebahagian lagi menjadikannya medan untuk perbincangan industri dan jaringan perniagaan serantau.

Antara pempamer utama yang mencuri perhatian ialah Angka-Tan Motor yang mengambil ruang pameran utama. Turut serta ialah JAC Motors, Trucks Dotcom dan Handal BCM sebagai pempamer baharu dengan ruang pameran berskala besar.

Pavilion Taiwan Buat Penampilan Sulung

Salah satu pembaharuan terbesar tahun ini ialah pengenalan pavilion negara atau Country Pavilion buat pertama kali.

MCVE 2026 menjadi tuan rumah kepada tujuh syarikat dari Taiwan, menjadikan mereka kumpulan pempamer luar negara paling besar dalam acara kali ini. Kehadiran mereka dilihat sebagai usaha untuk meneroka peluang pasaran baharu ASEAN, membina rangkaian baharu dan memperkenalkan jenama kepada pemain industri tempatan.

Penganjur MCVE 2026, Stefan Pertz berkata, penyertaan antarabangsa itu membuktikan Malaysia kini semakin diyakini sebagai hab penting industri automotif dan pengangkutan di rantau ini.

Seminar Industri dan Fokus Masa Depan Logistik

Selain pameran produk dan teknologi, MCVE 2026 turut tampil menerusi pelbagai seminar dan sesi perkongsian industri.

Association of Malaysian Hauliers menggunakan platform ini untuk menganjurkan siri Coffee Talks bertemakan The State of the Haulage Industry @ MCVE 2026, yang membincangkan isu semasa seperti kesiapsiagaan AI, trak bina semula, persepsi industri dan keselamatan jalan raya.

Pada 15 Mei pula, persidangan CargoNOW Malaysia berlangsung serentak dengan MCVE menerusi kerjasama bersama LogiSYM dari Singapura.

Seminar sehari itu memberi fokus terhadap masa depan logistik, rantaian bekalan dan ekosistem pengangkutan, termasuk cabaran operasi sebenar yang dihadapi pengendali kenderaan.

MCVE Tampilkan Gaya Hidup Karavan

MCVE 2026 turut memperkenalkan Experience Zone yang mengetengahkan trend gaya hidup perkhemahan dan karavan yang semakin berkembang di Malaysia.

Zon ini dikendalikan bersama Asian Trucker dan menghimpunkan beberapa jenama berkaitan gaya hidup outdoor serta kenderaan rekreasi.

Antara tarikan utama ialah Mercedes Unimog dikenali sebagai “Moggy”, dibawa khas dari Australia untuk mempamerkan konsep kehidupan bergerak menggunakan trak tentera yang diubah suai.

Selain itu, beberapa model rekreasi daripada Asia RV turut ditawarkan dengan promosi istimewa sepanjang ekspo berlangsung.

Platform Penting Industri Pengangkutan ASEAN

MCVE 2026 juga mendapat sokongan pelbagai penaja industri termasuk Hengst, Hap Seng Trucks Distribution, City Zone Express, Sidhu Brothers, Mr Coffee dan JMC.

MCVE 2026 berlangsung dari jam 10 pagi hingga 7 malam sepanjang tiga hari acara, dan kemasukan adalah percuma.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang MCVE Malaysia

Baca Juga : Jangan Abai! Tip Elak Mengantuk Ketika Memandu Jarak Jauh

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi