Automotif

Livery Khas Singapore GP – Sambut Ulang Tahun Ke-50 PETRONAS

Share

Livery Istimewa

Perak, hitam, dan… hijau zamrud! Bersiaplah untuk penampilan baru Mercedes W15 yang akan beraksi di Singapura hujung minggu ini. 

Sempena meraikan ulang tahun ke-50 rakan teknikal dan tajaan utama mereka, PETRONAS, pasukan Mercedes-AMG F1 akan mempersembahkan livery khas di litar Marina Bay.

Dalam sentuhan istimewa ini, warna hijau zamrud ikonik PETRONAS akan menggantikan kebanyakan warna perak pada sayap hadapan dan bahagian sisi Mercedes W15, kereta F1 musim 2024. 

Livery ini pastinya akan menambahkan lagi semangat kepada perlumbaan malam yang sememangnya penuh dengan warna-warni.

Livery Khas Singapore GP 2024

Toto Wolff

“Kerjasama kami dengan PETRONAS adalah yang paling lama dan masih kuat bertahan, dan bagi mana-mana syarikat yang mencapai ulang tahun ke-50, ia adalah pencapaian yang luar biasa,” kata Toto Wolff, Prinsipal pasukan Mercedes. 

“Livery ini bukan sahaja meraikan ulang tahun mereka, tetapi juga mencerminkan betapa pentingnya PETRONAS dalam perjalanan pasukan kami.”

Dengan ibu pejabat PETRONAS yang terletak di Kuala Lumpur, Malaysia, GP Singapura menjadi lokasi yang ideal untuk memperingati setengah abad inovasi dan pencapaian. 

PETRONAS, yang ditubuhkan pada tahun 1974, kini merupakan salah satu syarikat tenaga dan penyelesaian terkemuka di dunia. Mereka telah bekerjasama rapat dengan pasukan Mercedes sejak 2010, membangunkan prestasi di dalam dan luar litar.

Livery Khas Singapore GP 2024

Pemandu PETRONAS AMG-F1

Lewis Hamilton dan George Russell, dua pemandu utama pasukan, sudah lama teruja dengan penampilan baru ini. 

“Livery ini nampak luar biasa. Saya tak sabar untuk melihatnya di garaj dan seterusnya di belakang stereng pada hari Jumaat,” kata Lewis.

“Ia satu penghormatan untuk menyambut pencapaian besar ini bersama di perlumbaan penting ini.”

George turut berkongsi perasaan yang sama. “Rekaan ini sangat cantik dan merupakan penghargaan hebat untuk pencapaian PETRONAS. Sangat menarik dapat meraikan hubungan penting ini di perlumbaan yang paling dekat dengan rumah mereka.”

Livery Khas Singapore GP 2024

Sambutan ulang tahun ke-50 PETRONAS tidak terhenti di Singapura sahaja. Selepas GP Singapura, Toto, Lewis, dan George akan terbang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan sambutan minggu depan, menjadikannya satu peristiwa bersejarah buat kedua-dua pasukan dan PETRONAS.

Dengan livery istimewa ini dan perlumbaan yang berlangsung di bawah lampu malam Singapura pada 20 September hingga 22 September ini. Mercedes dan PETRONAS sudah pasti mencipta satu babak baharu dalam sejarah kerjasama mereka.

Dari Mercedes-AMGF1

Baca Juga PETRONAS SIC Sambut Ulangtahun ke-25 Bersama MotoGP November Ini!

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan