Pelumba profesional negara, Leona Chin, mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih tempat kedua keseluruhan dalam perlumbaan Hyundai N Cup One-Make Race yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai, Guangdong, China.
Kejayaan ini sekali lagi meletakkan nama Malaysia di peta sukan permotoran serantau.
Perlumbaan yang berlangsung hujung minggu lalu menyaksikan penyertaan 20 pelumba handalan dari China, Taiwan dan Hong Kong
dalam saingan one-make race menggunakan jentera Hyundai N.Dengan setiap pelumba mengendalikan jentera spesifikasi yang sama, tumpuan utama tertumpu kepada kemahiran dan strategi pemanduan.
Cabaran utama dalam perlumbaan ini ialah cuaca tropika yang tidak menentu.
Trek perlumbaan berubah secara drastik antara hujan lebat dan panas terik, menjadikan permukaan litar licin serta berisiko tinggi untuk tergelincir.
Keadaan ini menyebabkan beberapa insiden kemalangan berlaku sepanjang perlumbaan.
Walaupun bermula di pertengahan grid, Leona Chin mempamerkan ketenangan dan kebijaksanaan dalam mengatur strategi.
Beliau mengambil kesempatan daripada kesilapan pelumba lain, sambil mengekalkan konsistensi prestasi.
Keupayaan beliau mengawal jentera dengan tepat dalam keadaan mencabar membuahkan hasil dengan kejayaan di kedudukan kedua di garisan penamat.
“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk berlumba di peringkat antarabangsa dan mewakili Malaysia di platform kompetitif seperti ini,” kata Leona.
“Keadaan litar memang mencabar, tetapi saya dan pasukan telah memberikan segalanya untuk kekal fokus.”
Leona kini meletakkan sasaran untuk menyertai pusingan seterusnya Hyundai N Cup yang dijadualkan berlangsung di Chengdu, China pada Julai ini.
Namun, beliau kini sedang mencari sokongan penaja bagi menampung kos penyertaan dan logistik ke sana.
Kejayaan ini menjadi simbol dedikasi dan semangat juang seorang pelumba wanita Malaysia di peringkat antarabangsa.
Leona Chin bukan sahaja membuktikan keupayaannya dalam sukan yang didominasi lelaki, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda tempatan untuk berani mencuba dan mencabar batas kemampuan diri.
Baca Juga : Hyundai Elantra N TCR Edition, Reka Bentuk Agresif dan Aerodinamik
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.