Automotif

Legasi 100 Tahun MG Diteruskan Dengan Kemunculannya Di Pasaran Malaysia

Share

Pengeluar kereta terkemuka British, MG atau dikenali sebagai Morris Garages dilaporkan sedang bersiap sedia untuk meraikan ulang tahun ke-100 dengan memperkenalkan jenama tersebut di Malaysia.

Inisiatif ini dijalankan melalui usaha SAIC Motor Malaysia Sdn Bhd, menandakan langkah penting dalam membawa warisan seabad MG ke dalam landskap automotif Malaysia.

Slogan ‘Passion Drives’ menjadi penanda aras bagi MG untuk memperkukuhkan identiti jenama ini sebagai pelopor kenderaan yang menyatukan gaya, prestasi, dan inovasi.

Dengan pelancaran model terbaharu MG yang dijangka tidak lama lagi, pasaran automotif Malaysia akan diwarnai dengan kehadiran jenama ikonik ini seiring dengan perkembangan dunia berenjin di negara ini.

Kredit Foto: MG Motors

MG telah menggabungkan tradisi, inovasi dan harmoni sejak 1924 dengan memasukkan DNA perlumbaan sebagai teras pembangunan mereka. Menyaksikan kecemerlangan global MG sepanjang satu abad, ia telah menjadi suatu impak besar yang ditinggalkan dalam sejarah automotif.

Revitalisasi jenama MG dimulakan dengan kehadiran kereta ikonik seperti MG 14/28 Super Sports oleh Cecil Kimber pada tahun 1920-an, dilanjutkan dengan siri MG T-Series pada tahun 1930-an, dan kemudiannya MGB pada tahun 1960-an. MG sentiasa menampilkan inovasi sepanjang sejarah pembuatan kereta mereka.

Kini, MG bersedia untuk meneruskan warisan ini dengan memperkenalkan teknologi canggih dan kelestarian melalui model elektrik (EV) berprestasi tinggi. Namun, mereka berazam untuk tetap menghormati identiti jenama yang telah memperkukuhkan legasi mereka.

Kredit Foto: Medium Car Pages

Pada tahun 2023, MG mencapai kejayaan besar dengan menjual lebih daripada 800,000 unit kenderaan di lebih 90 negara. Kejayaan ini diperoleh melalui kerjasama kukuh dengan pengeluar automotif terbesar China, SAIC Motor, membuktikan keupayaan MG untuk mencapai puncak industri automotif.

Walaupun model-model yang akan diperkenalkan di Malaysia masih belum disahkan, gambar-gambar yang diperoleh daripada Paultan menunjukkan beberapa model MG yang telah diuji pada tahun lepas. Antara model yang dikesan adalah MG4 Electric, sebuah model EV yang memberikan gambaran awal tentang kehadiran MG di pasaran Malaysia.

Menurut maklumat dari pasaran Thailand, MG4 Electric dilengkapi dengan motor elektrik berkapasiti 51kWj, menghasilkan kuasa output sehingga 170 PS dan tork 250 Nm. Dengan jarak gerak sehingga 425km mengikut kitaran NEDC dan sistem pengecasan yang canggih, MG4 Electric menjanjikan prestasi yang hebat.

Peminat MG di Malaysia boleh mengikuti perkembangan terkini dan mendapatkan peluang eksklusif untuk memandu uji barisan model MG dengan melayari laman web rasmi www.mgmalaysia.com atau mengikuti laman media sosial rasmi @MGmotorMY.

Baca: Jaket Hevik Scorpius oleh GIVI, Khas Buat Penunggang Iklim Tropika

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan