Sempena sambutan perayaan Deepavali, lebih 2.6 juta kenderaan sehari dijangka membanjiri lebuh raya utama yang menghubungkan pantai timur, utara, dan selatan bermula hari ini.
Peningkatan aliran trafik yang ketara ini dijangka berlaku menjelang hari perayaan.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Sazali Harun, sebanyak 2.13 juta kenderaan dijangka menggunakan rangkaian lebuh raya di bawah pengurusan PLUS Malaysia Berhad, manakala 198,000 kenderaan akan melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dijangka menampung 78,220 kenderaan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) akan menerima 59,220 kenderaan.
Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dijangka bakal menampung sebanyak 153,700 kenderaan.
Bagi memastikan perjalanan pengguna lebuh raya kekal selamat dan lancar, Datuk Sazali memaklumkan bahawa LLM telah mengarahkan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya untuk membuat persiapan rapi.
“Pelbagai langkah telah diambil oleh semua pihak bagi menguruskan aliran trafik yang tinggi dan memastikan keselesaan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam usaha mengurangkan beban pengguna lebuh raya, kerajaan turut mengumumkan pemberian tol percuma selama dua hari.
Tol percuma akan bermula 12.01 tengah malam esok hingga 11.59 malam pada 30 Oktober (Rabu).
Ini diharap dapat memberikan sedikit kelonggaran kepada rakyat yang pulang ke kampung halaman untuk meraikan Deepavali.
Untuk kemudahan orang ramai, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh ini.
Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik atau sebarang insiden melalui saluran media sosial rasmi LLM, syarikat-syarikat konsesi, atau dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
Selain itu, pengguna juga boleh memantau keadaan trafik melalui paparan kamera litar tertutup (CCTV) di laman web rasmi LLM di https://www.llm.gov.my.
Baca Juga : Tips Sebelum Memulakan Perjalanan ke Kampung Halaman
Datuk Sazali turut menasihatkan para pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan bijak.
Anda boleh menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA sebagai rujukan.
Pastikan baki kad Touch ‘n Go dan e-dompet mereka mencukupi sebelum memulakan perjalanan.
Beliau juga mengingatkan penunggang motosikal supaya tidak menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan khas mereka.
Lorong ini juga bakal digunakan oleh kenderaan yang menghadapi kecemasan.
Dengan segala persiapan yang telah diatur oleh pihak LLM dan syarikat konsesi lebuh raya, diharapkan perjalanan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Deepavali akan menjadi lebih selamat, lancar, dan selesa.
Sumber: Astro AWANI
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.