
Pada 12 dan 13 Januari 2026, MODENAS telah menjemput wakil media automotif, penggiat industri serta komuniti garaj untuk menyertai satu lawatan teknikal eksklusif ke fasiliti pengeluarannya di Gurun, Kedah.
Roda Panas turut hadir sebagai media jemputan bagi mendapatkan gambaran lebih mendalam mengenai proses pembangunan motosikal terbaharu MODENAS, iaitu MODENAS Z15 GT.
Lawatan ini memberi fokus kepada penerangan menyeluruh berhubung bagaimana sesebuah model dibangunkan dari peringkat idea sehingga menjadi sebuah motosikal lengkap yang sedia untuk pengeluaran.
Sesi dimulakan dengan pembentangan oleh pasukan kejuruteraan dan R&D MODENAS yang menerangkan hala tuju pembangunan MODENAS Z15 GT.
Menurut MODENAS, objektif utama model ini adalah untuk membangunkan sebuah supermoped 150 cc yang mampu menawarkan keseimbangan antara prestasi, keselesaan serta harga yang kompetitif.
Sebagai pengeluar motosikal nasional, MODENAS turut menegaskan hasrat untuk membangunkan produk dengan keupayaan kejuruteraan sendiri, sambil mengekalkan standard global melalui kerjasama strategik bersama rakan teknologi.
MODENAS turut berkongsi aliran proses pembangunan MODENAS Z15 GT yang merangkumi tiga komponen utama iaitu casis, komponen badan serta enjin.
Proses ini bermula dengan rekaan 3D dan simulasi, diikuti pengesahan prototaip, pembangunan acuan, ujian komponen serta penilaian prestasi dan pengendalian.
Setiap peringkat pembangunan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan semua aspek dari segi keselamatan, ketahanan dan kebolehpercayaan memenuhi sasaran yang ditetapkan sebelum motosikal disahkan sebagai produk siap.
Dari sudut rekaan, pasukan styling MODENAS mendedahkan bahawa inspirasi utama MODENAS Z15 GT datang daripada ikan Arowana Emas Malaysia yang melambangkan kekuatan dan karakter agresif.
Elemen ini diterjemahkan ke dalam bahasa rekaan yang tajam dan berlapis, sejajar dengan falsafah Sugomi yang sinonim dengan Kawasaki.
Beberapa elemen rekaan juga dipengaruhi oleh model Kawasaki sedia ada, termasuk lampu hadapan LED, DRL, bentuk muka hadapan serta perincian aerodinamik yang memberi identiti sporty dan moden.
Dari aspek mekanikal, MODENAS mengesahkan perancangan untuk membangunkan enjin 150 cc serba baharu yang mampu bersaing dengan penawaran daripada jenama Jepun dan Eropah lain di pasaran tempatan.
Kajian perbandingan telah dilakukan merangkumi enjin dari segmen 150 cc hingga 1000 cc bagi mendapatkan rujukan teknikal yang relevan.
Pendekatan rekaan enjin ini cenderung kepada gaya Eropah, dengan fokus kepada kecekapan, karakter tunggangan yang seimbang serta kesesuaian untuk kegunaan harian dan jarak jauh.
MODENAS turut menekankan bahawa MODENAS Z15 GT dibangunkan sebagai produk dengan hak milik intelek penuh MODENAS.
Walau bagaimanapun, beberapa aspek teknikal melibatkan kerjasama bersama rakan seperti Kawasaki bagi tujuan validasi, serta Zonsen di China untuk pengoptimuman kos pembuatan dan tooling.
Pendekatan ini membolehkan MODENAS memastikan produk akhir memenuhi standard teknikal sambil kekal relevan dari segi kos dan kebolehpasaran.
Sesi soal jawab bersama media berlangsung secara terbuka dan menyeluruh, dengan soalan dijawab terus oleh jurutera yang terlibat dalam pembangunan MODENAS Z15 GT.
Beberapa persoalan strategik turut dijawab oleh Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Encik Roslan Roskan, yang berkongsi pandangan syarikat terhadap hala tuju produk masa hadapan.
Selepas sesi pembentangan, para tetamu dibawa melawat fasiliti pengeluaran MODENAS yang terdiri daripada tiga kilang utama, iaitu Kilang A, B dan C, dengan penerangan terperinci mengenai fungsi setiap fasiliti sebelum majlis ditutup dengan jamuan tengah hari.
Lawatan teknikal ini memberi gambaran jelas bahawa MODENAS Z15 GT bukan sekadar model baharu, sebaliknya satu manifestasi usaha MODENAS untuk meningkatkan keupayaan kejuruteraan dan pembangunan produk tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
Baca juga: MODENAS Perkenal Z15GT, Harga RM8,288
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.