Automotif

KTMB Sediakan 15,120 Tiket Tambahan untuk Perjalanan Aidilfitri

Share

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan ketersediaan mereka untuk menyediakan sebanyak 15,120 tiket tambahan, termasuk tren ekspres, bagi memenuhi permintaan perjalanan sempena sambutan Aidilfitri. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa tambahan tiket tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memudahkan perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.

Menurut Loke, KTMB akan menawarkan 1,260 tiket tambahan setiap hari sempena sambutan Aidilfitri. Tambahan tiket ini juga akan melibatkan enam perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang beroperasi dari 4 hingga 15 April. Keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan, termasuk tren biasa dan tambahan, adalah sebanyak 135,000 tiket.

Kredit Foto: Polis Bantuan KTMB

“Enam perkhidmatan ETS akan merangkumi dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral, dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral – Butterworth – KL Sentral, dan dua perkhidmatan ekspres laluan untuk KL Sentral – Ipoh – KL Sentral,” jelasnya.

Bagi penumpang yang akan pulang ke Pantai Timur, KTMB juga menyediakan dua perjalanan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya. Sebanyak 952 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan khas ini.

“Tren Khas ELA akan berhenti di 17 buah stesen, termasuklah Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu, dan Tumpat,” tambah Loke.

Loke turut mengumumkan bahawa tiket tambahan untuk ETS dan perkhidmatan khas ELA akan mula dijual pada hari ini, 22 Mac, bermula jam 5.00 petang.

Sementara itu, dalam usaha untuk memastikan kelancaran lalu lintas sempena musim perayaan, Loke juga mengumumkan larangan penggunaan jalan raya oleh kenderaan berat selama empat hari iaitu pada 8 dan 9 April, serta 13 dan 14 April.

Kredit Foto: KTMB

“Untuk musim perayaan ini, saya telah menandatangani perintah larangan penggunaan jalan raya oleh kenderaan berat dua hari sebelum raya pada 8 dan 9 April, serta dua hari selepas raya iaitu pada Sabtu dan Ahad, 13 dan 14 April,” katanya.

Langkah-langkah ini diambil untuk memastikan pengaliran trafik yang lancar dan keselamatan pengguna jalan raya semasa musim perayaan. Dengan adanya penambahan tiket tren dan langkah-langkah pengawalan trafik, diharapkan perjalanan pulang ke kampung halaman akan lebih selesa dan selamat bagi semua penumpang.

Baca: Perlis Cadang Operasi Pintu Sempadan Dipanjangkan

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan