Automotif

Kisah Lamborghini STO SC 10° Anniversario: Model Eksklusif Dalam Sejarah!

Share

Lamborghini telah memasuki zaman di mana kenderaan elektrik telah menjadi semakin diterima di pasaran, dengan model-model hibrid dan elektrik yang telah dan akan terus dilancarkan.

Sebagai contoh model Revuelto yang menyatukan enjin 6.5 liter V12 dengan tiga motor elektrik sebagai kenderaan hibrid plug-in (PHEV).

Zaman elektrifikasi ini juga bermakna model-model lama akan dihentikan pengeluarannya, termasuk Huracán yang telah diumumkan akan dihentikan.

Sebelum pengeluarannya dihentikan, pasaran dunia telah dikurniakan dengan pelbagai variasi Huracán sejak 2014, termasuk versi off-road Sterrato yang menarik.

Bagi menggembirakan peminatnya, Lamborghini mempersembahkan Huracán STO SC 10° Anniversario sempena ulang tahun ke-10 bahagian perlumbaan Squadra Corse.

Kredit Foto: Lamborghini

Kereta ini adalah hasil kreativiti dari Lamborghini Ad Personam Opera Unica, yang bermakna ia dikeluarkan dalam jumlah yang terhad – cuma satu unit sahaja.

Huracán STO SC 10° Anniversario dibangunkan oleh jurutera Squadra Corse dengan menggunakan pengalaman dari litar perlumbaan bagi meningkatkan kualiti dinamiknya dan prestasi di litar.

Bonet kereta ini kini dilengkapi dengan sepasang sirip gentian karbon yang baru dan bersama-sama dengan sayap belakang, ia meningkatkan daya mendap pada bahagian depan dan belakang kereta.

Sayap belakangnya sekarang tiga darjah lebih tinggi berbanding dengan model produksi. Bentuknya yang direka khas membangkitkan semula sentuhan model nostalgik iaitu Countach, sebuah ikon Lamborghini.

Cengkaman mekanikalnya turut ditingkatkan melalui empat penyerap hentak yang telah disesuaikan untuk dunia perlumbaan, menggantikan set penyerap aktif yang asal.

Kredit Foto: Lamborghini

Penyerap hentak baharu ini mempunyai empat laras dengan talaan yang dapat diubah pada kedua-dua frekuensi tinggi dan rendah, memberikan peningkatan prestasi yang ketara di litar.

Turut membantu meningkatkan prestasinya di litar adalah tayar baharu yang dikembangkan bersama Bridgestone, yang serupa dengan tayar yang digunakan pada model STO.

Sama seperti STO, model ini dikuasakan oleh enjin 5.2 liter V10 dengan transmisi dua cekam tujuh kelajuan dan menggunakan pacuan roda belakang.

Dalam STO, enjin ini menghasilkan kuasa sebanyak 631 HP dan tork sebanyak 565Nm.

Lamborghini telah memperkayakan model istimewa ini dengan pemasangan ekzos titanium Akrapovič sebagai standard untuk memberi ciri unik berbeza dengan STO biasa yang ditawarkan sebagai pilihan tambahan kepada pembeli.

Rekaan luaran kereta ini dinspirasi dari prototaip SC63 yang akan bersaing dalam perlumbaan 24 Jam Le Mans dan 12 Jam Sebring pada tahun 2024.

Warna-warna seperti Verde Mantis (hijau) dan Nero Noctis (hitam) yang dipersembahkan dengan jaluran tiga warna melintasi bahagian depan, belakang, serta bumbungnya, memberikan penampilan yang memukau.

Jaluran warna Rosso Mars (merah) turut melekat pada kereta ini dari hadapan hingga ke belakang. Logo Squadra Corse turut jelas terpampang pada sirip belakang.

Kredit Foto: Lamborghini

Logo khas Squadra Corse 10° Anniversario turut diletakkan pada pintu untuk meraikan ulang tahun bahagian perlumbaan ini.

Pencapaian hebat seperti kemenangan dalam kategori GTD di dalam 24 Jam Daytona dan lebih daripada 50 kemenangan keseluruhan dalam kelas GT3 turut menjadi sebahagian dari sejarah model ini.

Di dalam kabinnya, kereta ini dihiasi dengan kerusi sport yang dilapisi dengan Alcantara Nero Ade (hitam) yang dipanjangkan dengan sulaman Verde Fauns (hijau).

Tali pinggang keledar empat sudut dan bar oleng aluminium turut diberikan perhatian bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang.

Seterusnya, pelapik lantai kereta ini diperbuat daripada gentian karbon dan plak khas dari bahan yang sama turut diletakkan pada dinding sekat belakang.

Mengenai harganya, ia belum diumumkan lagi, mungkin kerana kereta ini hanya dibuat dalam satu unit sahaja.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Shazwan