Bagi kebanyakan pemandu, menghidupkan radio di dalam kereta adalah rutin yang sama pentingnya dengan menghidupkan enjin atau melaraskan suhu udara dalam kereta.
Namun, pada suatu ketika dahulu, radio kereta bukanlah sesuatu yang diterima secara meluas.
Malah, ada penggubal undang-undang yang berfikiran bahawa radio dalam kereta boleh mengganggu perhatian pemandu dan harus diharamkan.
Tetapi pernahkah anda terfikir, siapa sebenarnya yang mencetuskan idea untuk memasang radio dalam kereta dan bagaimana ia menjadi sebahagian penting dalam pengalaman memandu di Amerika?
Sebelum wujudnya televisyen dan internet, radio adalah medium utama untuk hiburan dan berita.
Pada awal 1900-an, keluarga-keluarga di Amerika bergantung kepada radio sebagai sumber maklumat, hiburan, dan muzik.
Filem-filem klasik sering menggambarkan keluarga berkumpul di ruang tamu mendengar radio.
Keadaan ini biasa di lihat semasa masa perang atau cuaca buruk, sebagai penghubung mereka kepada dunia luar.
Paul Galvin dikenali sebagai orang yang pertama sekali menyedari potensi radio dalam kereta.
Dia melihat bagaimana orang Amerika terpesona dengan radio, lalu membawa inovasi ini ke dalam kenderaan.
Dengan bekerjasama dengan jurutera, Galvin berjaya membina dan memasang radio di dalam kereta pertama yang berjaya secara komersial.
Pada masa yang sama, Galvin dan abangnya menubuhkan sebuah syarikat di Chicago untuk menghasilkan radio rumah yang boleh berfungsi dengan elektrik rumah, menggantikan penggunaan bateri.
Baca Juga : Transformasi Tub Mandi Menjadi Motosikal Unik
Selepas kejatuhan pasaran saham pada tahun 1929 yang mencetuskan kemelesetan ekonomi, Galvin dan abangnya terdesak untuk mencari produk baru bagi menyelamatkan syarikat elektronik mereka.
Meskipun ekonomi merudum, permintaan terhadap teknologi radio semakin berkembang.
Dengan bantuan syarikat yang mengeluarkan alat ganti radio, Galvin mengubah hala syarikatnya untuk menghasilkan radio kereta yang mampu dimiliki.
Elmer Wavering, seorang tokoh dalam dunia automotif, turut menyumbang kepakaran teknikalnya untuk memastikan radio ini berfungsi dengan baik dalam kereta.
Pada mulanya, mereka mendapati bahawa radio yang dipasang di dalam kereta perlu tahan lasak untuk perjalanan jauh di atas jalan yang mencabar.
Dalam pada masa yang sama ianya harus cukup kecil untuk muat dengan mudah di dalam kenderaan.
Pada tahun 1930, Galvin memandu keretanya, sebuah Studebaker, sejauh 850 batu dari Chicago ke Atlantic City, New Jersey untuk membuktikan keupayaan radio tersebut.
Radio pada masa itu sangat besar jika dibandingkan dengan standard hari ini.
Pelbagai komponen diletakkan di dalam serta di bawah lantai kereta.
Walaupun begitu, Galvin berjaya mengintegrasikan radio tersebut ke dalam keretanya, dan perjalanan panjang itu membuktikan kejayaan tersebut.
Oleh kerana Galvin tidak berdaftar untuk Konvensyen Persatuan Pengilang Radio di Atlantic City, dia meletakkan keretanya di luar acara tersebut dengan radio berbunyi kuat, dan kembali ke Chicago dengan banyak pesanan.
Kebanyakan kita pasti biasa dengan jenama teknologi dan elektronik Motorola.
Nama ini sebenarnya berasal dari kombinasi perkataan “motor” dan “victrola” yang dicipta oleh Galvin.
Motorola berjaya menghasilkan salah satu radio kereta paling berjaya di dunia, menjadikan kenderaan sebagai rumah kedua yang dilengkapi dengan kemudahan moden.
Hingga kini, Motorola masih menjadi peneraju dalam dunia peralatan komunikasi, dan kita patut berterima kasih kepada Paul Galvin setiap kali kita menghidupkan radio semasa memandu.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.