Automotif

Kia Sportage Serba Baharu, SUV Keluarga Terbaik oleh Women’s World Car of the Year 2022

Share

KIA SPORTAGE BAHARU: SUV KELUARGA YANG MENAWAN

Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, pengedar tunggal jenama Kia di Malaysia, dengan bangganya memperkenalkan generasi kelima Kia Sportage yang serba baharu.

Model ini boleh ditempah dengan harga permulaan dianggarkan RM 150,000.00.

Kia Sportage, yang telah dinobatkan sebagai pemenang SUV Keluarga Terbaik oleh Women’s World Car of the Year 2022, menetapkan penanda aras baharu dalam kelasnya dengan menekankan reka bentuk maju dan inovasi.

Dibina berasaskan platform canggih Generasi ke-3 N3, Sportage serba baharu ini mempertingkatkan dinamik pemanduan, keselamatan, dan keselesaan, dengan struktur lebih kukuh menggunakan keluli ultra-tinggi.

Kabinnya yang dilengkapi dengan bahan penyerap bunyi strategik, menjadikan Sportage pilihan unggul untuk keluarga.

Ini adalah bukti komitmen Kia untuk sentiasa meningkatkan reka bentuk yang inovatif.

Prestasi Enjin

Kia Sportage baharu menawarkan dua pilihan enjin untuk memenuhi keperluan pemanduan yang berbeza.

Enjin petrol 2.0L Smartstream menghasilkan 156 kuasa kuda pada 6,200 RPM dan tork 192 Nm.

Model ini juga dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan yang menawarkan prestasi yang lebih  lancar.

Bagi mereka yang mencari kuasa lebih tinggi, enjin petrol 1.6T Gamma II menghasilkan 177 kuasa kuda pada 5,500 RPM dan tork 265 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar 7-kelajuan untuk pecutan responsif dan dinamik.

Rekaan Luaran

Rekaan luaran Kia Sportage baharu mendefinisikan semula rekaan moden, mewujudkan gaya berani untuk generasi baru SUV keluarga.

Garisan yang anggun dan tajam mengalir dengan lancar merentasi badan kereta ini menghasilkan aura kuasa yang halus.

Elemen reka bentuk yang dinamik, ditambah dengan struktur yang bersih dan berotot, mencipta siluet menonjol yang memancarkan keyakinan dan ketangkasan di atas jalan raya.

Terinspirasi oleh falsafah reka bentuk “Opposites United”, Sportage mengimbangi elemen yang berbeza dalam setiap perincian reka bentuknya.

Konsep “Boldness for Nature” yang menjadi asas falsafah ini mencerminkan hubungan erat antara rekaan berani dengan elemen semula jadi.

Hasilnya ialah sebuah SUV moden yang terasa hidup dan selaras dengan persekitaran.

Dari bahagian hadapan, Sportage hadir dengan gril hitam yang lebar dan terperinci, menyatukan elemen frontal utama untuk penampilan yang mempesonakan.

Gril ini turut menggabungkan rekaan “Tiger Nose” bersama lampu LED berbentuk boomerang yang memberikan rupa futuristik dan unik.

Lampu hadapan LED Matrix pula memberikan sentuhan berani yang menetapkan penanda aras baru dalam rekaan SUV kontemporari.

Reka Bentuk Dalaman

Kia Sportage baharu membawa rekaan dalaman yang memfokuskan kepada pemandu dengan gabungan gaya berani, keselesaan, dan teknologi canggih.

Kabin dilengkapi dengan bahan premium, sentuhan mewah, dan estetika yang kemas.

Salah satu ciri utama adalah paparan skrin sentuh melengkung yang meliputi bahagian depan, mewujudkan kokpit yang luas dan moden dengan lubang udara bergaya, memberikan pengalaman canggih untuk pemandu dan penumpang.

Dalam varian Sportage 2.0L, paparan TFT-LED warna bersaiz 4.2-inci menyediakan maklumat yang jelas, manakala varian 1.6T menawarkan kluster instrumen digital bersaiz 12.3-inci.

Sistem infotainmen dalam varian 2.0L dilengkapi skrin 8-inci dengan pengecaman suara.

Manakala varian 1.6T hadir dengan sistem infotainmen lebih besar bersaiz 12.3-inci.

Kedua-duanya menyokong Apple CarPlay dan Android Auto untuk integrasi telefon pintar yang lancar.

Ruang Kabin dan Keselesaan

Kabin Sportage direka dengan bijak, menawarkan gabungan praktikaliti dan fungsi dengan ruang dalaman yang luas.

Kapasiti kargo 637 liter dan kerusi belakang yang boleh dilipat rata, ia memberikan ruang yang mencukupi untuk perjalanan mereka yang berkeluarga.

Varian 1.6T AWD dilengkapi sistem bunyi premium 8-pembesar suara Harman Kardon, manakala varian lain menawarkan sistem audio 6-pembesar suara yang berkualiti tinggi.

Ciri Keselamatan Terkini

Kia Sportage juga hadir dengan pelbagai ciri keselamatan yang canggih, memastikan keselamatan maksimum untuk semua penumpang.

Ia dilengkapi dengan 6 beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Mula Bukit (HAC), dan Sistem Kawalan Turun Bukit (DBC).

Untuk varian lebih tinggi, ciri seperti Blind-Spot Collision Warning (BCW), Lane Keeping Assist (LKA), dan Smart Cruise Control (SCC) turut disediakan, memastikan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan selesa.

Harga dan Pilihan Warna

Kia Sportage baharu ini dipasang sepenuhnya secara tempatan di kilang pemasangan Inokom di Kulim, Kedah.

Ia hadir dalam empat warna menarik iaitu Astra Blue, Meteor Grey, Snowflake White Pearl, dan Jet Black.

Harga permulaan bagi Sportage baharu ini adalah dari RM 150,000.00, termasuk Jaminan Pengeluar selama 5 tahun atau sehingga 100,000 KM, serta pakej penyelenggaraan percuma untuk tempoh yang sama.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Baca Juga : Inisiatif Hijau Kia dan The Ocean Cleanup

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi