Baru-baru ini, Kia memperkenalkan versi facelift Kia Sorento 2024 untuk pasaran Amerika Syarikat bersempena Los Angeles Auto Show 2023. Walaupun ia model facelift, SUV ini hadir dengan rupa hadapan yang diperbaharui sepenuhnya hasil inspirasi daripada falsafah Opposites United dan Bold For Nature yang sama seperti Kia EV9.
Kia Sorento 2024 turut tampil dengan rupa hadapan yang lebih agresif dengan lampu hadapan baharu yang memberi kemasan yang lebih menarik, serta rekaan jeriji yang lebih lebar, menambah keberanian pada reka bentuknya.
Lampu belakang yang kini bersambung juga memberikan sentuhan moden pada bahagian belakang kenderaan ini.
Pada ruang dalaman pula terdapat perubahan pada susun atur papan pemuka yang memancarkan dinamik kecanggihan. Corong udara yang lebih ringkas memberikan ruang yang lebih luas dalam kabin. Panel skrin melengkung dengan paparan berkembar 12.3 inci memberikan sentuhan teknologi yang lebih maju. Selain itu, sistem hiburan yang boleh dikemaskini dalam talian juga turut disokong.
Kia Sorento 2024 turut ditingkatkan ciri keselamatannya. Perincian seperti cermin belakang digital, kunci digital, dan beberapa ciri bantuan pemanduan seperti Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan, Bantuan Pengekalan Lorong, dan Bantuan Pemanduan Lebuhraya 2 turut ditawarkan.
Dari segi prestasi, Kia Sorento 2024 menawarkan dua pilihan iaitu enjin 2.5 liter NA (191 hp, 245 Nm) dan enjin 2.5 liter turbo (281 hp, 421 Nm). Enjin-enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan atau DCT lapan kelajuan.
Selain model asas, Kia Sorento 2024 untuk pasaran Amerika turut hadir dengan varian baharu X-Pro. Varian ini menawarkan pembeza kekunci tengah, rim 17 inci bersama tayar all-terrain BFGoodrich, trim X-Line yang unik, serta kombinasi warna kabin Olive Brown/Sage yang menarik.
Diharapkan Kia turut menyediakan varian Sorento Hybrid dan Sorento Plug-in Hybrid pada model tahun 2025 dengan penawaran kuasa yang serupa dengan model sebelumnya.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.