Automotif

KFC Guna Kenderaan Pandu Sendiri di China

Share

Inovasi Automotif di Jalanan China

Kentucky Fried Chicken (KFC), memperkenalkan trak makanan pandu sendiri di beberapa lokasi terpilih di China.

Kenderaan autonomi ini berfungsi sepenuhnya tanpa pemandu, menjadikannya satu konsep restoran bergerak yang mampu beroperasi tanpa interaksi dengan manusia.

Pandemik Pacu Perubahan Cara Hidup

Idea ini tercetus selari dengan perubahan gaya hidup akibat pandemik COVID-19, yang mendorong permintaan terhadap perkhidmatan tanpa sentuhan.

Dalam usaha mengurangkan penularan virus melalui interaksi fizikal, penyelesaian seperti trak makanan pandu sendiri mula menjadi pilihan strategik.

KFC merupakan antara jenama terawal yang tampil dengan pendekatan ini di China.

Kerjasama Strategik Bersama Neolix

Pelaksanaan teknologi ini dilakukan menerusi kerjasama dengan syarikat teknologi China, Neolix.

Syarikat ini terkenal dengan pembangunan kenderaan autonomi bersaiz kecil untuk pelbagai tujuan termasuk nyahjangkit kawasan awam.

Menurut laporan Forbes, Neolix kini bekerjasama secara langsung dengan Yum Brands (syarikat induk KFC dan Pizza Hut) dalam membangunkan trak hidangan segera ini.

KFC dilaporkan menjadi projek sulung dalam inisiatif tersebut.

Cara Operasi Trak Makanan Pandu Sendiri

Kenderaan ini tampil dengan reka bentuk moden yang kompak dan mesra pengguna.

Pelanggan boleh membuat pesanan secara langsung melalui skrin sentuh yang disediakan di bahagian sisi trak.

Setelah memilih menu, pembayaran dilakukan menggunakan kod QR digital.

Makanan kemudian dikeluarkan melalui pintu automatik dan semua proses ini tanpa interaksi dengan manusia.

Walaupun masih belum jelas bagaimana sistem ini mengawal pelanggan daripada mengambil makanan yang lain daripada pesananan mereka.

Namun penulis pasti terdapat sistem keselamatan pintar yang terbina untuk mengawal keadaan tersebut.

Simbol Masa Depan atau Sekadar Percubaan?

Kemunculan trak makanan autonomi ini membuktikan bahawa gabungan teknologi automotif dan keperluan harian semakin menjadi satu realiti.

Ia bukan sahaja mencerminkan kemajuan dalam sektor automotif pintar, malah berpotensi mengubah struktur perniagaan makanan segera.

Namun, penerimaan orang ramai masih menjadi penentu kejayaan jangka panjangnya.

Sama ada ia bakal menjadi norma baharu atau sekadar ujian konsep bergantung kepada tahap keyakinan pengguna terhadap keselamatan, kebersihan dan kemudahan teknologi ini.

Bila Automotif Bertemu Ayam Goreng

China sekali lagi membuktikan dirinya sebagai perintis dalam penggunaan teknologi automotif dalam sektor bukan konvensional.

Trak KFC pandu sendiri ini bukan sahaja menarik perhatian sebagai inovasi makanan segera, tetapi juga sebagai simbol bagaimana kenderaan autonomi boleh digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan moden.

Dari jalan raya ke dapur, industri automotif kini semakin dekat dengan perut pengguna.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Baca Juga : Toyota Eco Youth Rai Semangat Generasi Muda Melestarikan Alam Sekitar

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi