Mercedes-Benz Malaysia baru sahaja melancarkan model elektrik penuh pertama dari jenama Mercedes-Maybach – Mercedes-Maybach EQS 680 SUV. Model ini bukan sekadar SUV elektrik mewah biasa, tetapi simbol kemewahan futuristik yang membawa pengalaman pemanduan ke tahap baharu.
Dari luaran, EQS 680 SUV menampilkan elemen reka bentuk yang unik dengan gril khas Maybach yang kini diadaptasi untuk era elektrik. Bintang Mercedes yang megah terletak di bonet, memberikan identiti eksklusif. Kemasan krom pada bahagian gril, lampu hadapan DIGITAL LIGHT, serta reka bentuk aerodinamik yang licin menonjolkan keanggunan tanpa kompromi.
Pada bahagian sisi, terdapat bingkai krom yang menonjolkan tingkap serta emblem Maybach pada tiang D, mencerminkan status eksklusif. SUV ini juga dilengkapi rim aloi 21-inci eksklusif dengan rekaan multi-jejari, yang melengkapi penampilan berprestij.
Tidak ketinggalan, EQS 680 SUV juga menawarkan pilihan warna dwi-ton yang digunakan secara manual oleh pakar. Termasuk kombinasi seperti High-Tech Silver/Obsidian Black dan Velvet Brown/Onyx Black.
Melangkah ke dalam kabin, pemandu dan penumpang akan disambut dengan suasana yang benar-benar mewah. EQS 680 SUV menampilkan tempat duduk First-Class Rear dan Executive yang memberikan keselesaan seumpama kabin kapal terbang kelas pertama.
Sistem MBUX Hyperscreen yang menguasai papan pemuka hadir dengan paparan eksklusif khas Maybach. Skrin ini tidak hanya menyediakan info pemanduan. Malah, ia juga membolehkan kawalan hiburan, navigasi, dan tetapan keselesaan dengan mudah.
Untuk penumpang belakang, dua skrin 11.6 inci dan tablet MBUX Rear Seat Entertainment turut disediakan untuk pengalaman hiburan premium.
Kemewahan dalam kabin juga diterjemahkan melalui penggunaan kulit Nappa eksklusif yang diproses secara lestari, serta kemasan kayu MANUFAKTUR yang memperlihatkan pertukangan seni yang teliti.
Sebagai sebuah SUV ultra-mewah, keselesaan menjadi keutamaan. Pintu automatik yang boleh dibuka dan ditutup secara kendiri memberikan kemudahan premium. Sistem pencahayaan dalaman Adaptive Rear Lighting dengan lebih 253 LED membolehkan pengguna menyesuaikan suasana kabin mengikut mood mereka.
Dari segi pengalaman bunyi, sistem audio Burmester® 4D Surround Sound dengan teknologi Dolby Atmos® memberikan pengalaman bunyi sinematik dalam kereta. Malah, sistem aromaterapi AIR BALANCE menawarkan wangian eksklusif “No.12 MOOD Ebony” yang dicipta khas untuk EQS 680 SUV.
Untuk perjalanan yang lebih senyap, Mercedes-Maybach menggunakan bahan penyerap bunyi khas serta sistem “Disconnect Unit” yang mematikan motor hadapan pada kelajuan rendah untuk mengurangkan bunyi dan meningkatkan kecekapan tenaga.
EQS 680 SUV dilengkapi sistem suspensi udara AIRMATIC dengan kawalan penyerap hentakan adaptif ADS+, memberikan perjalanan yang selesa walaupun di jalan yang tidak rata. Selain itu, sistem stereng belakang boleh berpusing sehingga 10 darjah. Mengurangkan jejari pusingan dan memudahkan pergerakan dalam ruang sempit.
Menariknya, model ini juga mempunyai mod pemanduan khas “MAYBACH” yang direka untuk memberikan pengalaman pemanduan paling lancar, khususnya bagi penumpang belakang.Harga dalam pasaran Malaysia bermula dari RM1,088,888.
Dari Mercedes Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.