Kejadian yang tidak diingini seperti kereta dilanggar semasa kita meninggalkan kereta di kawasan parkir dan melakukan aktiviti harian boleh mengubah mood seharian kita.
Apa yang lebih memburukkan, bagaimana jika anda tidak mengetahui siapa yang bertanggungjawab dan apakah langkah yang perlu diambil? Artikel ini akan membahas langkah-langkah yang boleh diambil jika kereta anda dilanggar semasa di tempat letak kereta, serta bolehkah anda membuat tuntutan insurans.
Langkah 1: Lihat Dulu Sekeliling, Cari Siapa yang Langgar
Reaksi pertama mungkin adalah geram dan kecewa, tetapi penting untuk kekal tenang. Perhatikan sekeliling kereta untuk mencari nota atau nombor telefon pelaku yang mungkin ditinggalkan. Jika ada maklumat tersebut, anda berpeluang untuk menyelesaikan perkara secara baik melalui tuntutan insurans kepada pelaku.
Langkah 2: Jika Tidak Jumpa Pelaku?
Jika tiada nota atau nombor telefon ditinggalkan, anda masih tidak perlu risau. Jika anda mempunyai polisi insurans komprehensif, anda boleh membuat tuntutan di bawah ‘No Fault Own Damage’ (NFODC). Ini bermaksud, anda boleh menuntut kos pembaikan walaupun anda tidak tahu siapa yang bertanggungjawab.
Apakah Tuntutan “No Fault Own Damage”?
Tuntutan ini membolehkan pemegang polisi insurans komprehensif membuat tuntutan jika kerosakan pada kereta disebabkan oleh pihak luar yang tidak diketahui. Ini tidak akan memberi kesan kepada kadar NCD (No Claims Discount) insurans anda.
Langkah 3: Buat Laporan Polis
Jangan tangguh, buat laporan kepada pihak polis dalam tempoh 24 jam selepas sedar tentang kerosakan. Hubungi insurans kereta anda dan beritahu mengenai kejadian tersebut. Pastikan kereta dihantar ke bengkel panel insurans untuk memastikan tuntutan berjaya.
Langkah 4: Ketahui Kos Baik Pulih
Bengkel panel akan menghantar pelaras kerugian berlesen untuk menilai kos kerosakan. Simpan laporan kerugian ini untuk rujukan insurans. Jika mempunyai perlindungan tambahan CART, anda boleh membuat tuntutan daripada syarikat insurans.
Langkah 5: Jangan Tangguh, Buat Tuntutan dengan Syarikat Insurans
Hantar tuntutan kepada syarikat insurans secepat mungkin dengan borang tuntutan dan salinan dokumen seperti laporan polis, kad pendaftaran kenderaan, kad pengenalan, lesen memandu, polisi insurans, resit kos pembaikan, dan gambar kerosakan kenderaan.
Ingatlah untuk sentiasa menghubungi bengkel kereta untuk mendapatkan perkembangan pembaikan. Jangan leka, ambil tindakan segera untuk memastikan proses tuntutan insurans berjalan lancar. Dengan langkah-langkah ini, anda dapat mengurangkan kesan kerosakan pada kenderaan dan mempercepat proses pembaikan.
Sumber: Bjak.my
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.