Automotif

Kemudahan Tol Percuma Lebuh Raya Sempena Cuti Perayaan Hari Krismas

Share

Pengguna lebuh raya di seluruh Malaysia akan menikmati kemudahan tol percuma selama dua hari bersempena ketibaan cuti perayaan Hari Krismas pada 23 dan 26 Disember 2023.

Pemberian pengecualian tol ini dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk semua jenis kelas kenderaan di plaza tol kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor yang terletak di sempadan negara.

Menurut kenyataan KKR, pemilihan tarikh berkenaan adalah hasil daripada kerjasama antara KKR dan syarikat konsesi dengan tujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar.

Keputusan ini juga diambil untuk meningkatkan tahap operasi dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah dan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya.

“Dalam semangat perpaduan Malaysia Madani, Kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada para pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas yang akan disambut pada 25 Disember 2023,” kata KKR dalam kenyataan pada Khamis.

Dengan pelaksanaan tol percuma ini, KKR berharap dapat meringankan beban perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan menyambut Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.

Langkah ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum, dan kepercayaan.

Pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk memanfaatkan peluang ini dengan merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan yang disyorkan. Aspek keselamatan juga ditekankan, di mana pengguna perlu mematuhi had laju, papan tanda, dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya.

Untuk maklumat terkini dan keadaan trafik, orang ramai boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook dan aplikasi X @LLMtrafik secara berkala. Selain itu, Pusat Pengurusan Trafik LLM juga boleh dihubungi melalui talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan laporan terkini.

Akhirnya, pengguna diingatkan untuk sentuh kad Touch ‘n Go di alat pembaca kad bagi merekodkan jumlah perjalanan. Dengan ini, diharapkan kemudahan tol percuma ini memberikan manfaat kepada semua pengguna lebuh raya dan menyumbang kepada suasana perayaan yang lebih gembira dan selamat.

Sumber : Astro Awani

 

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi