Kegani Racing Academy Perkenal Swift Pro-Cup 2026 & Buka Akademi di Jepun

Share

KRA Lancar SKILLDRVN Swift Pro-Cup 2026 & Kembangkan Sayap ke Jepun

Kegani Racing Academy (KRA) terus memperkukuh kedudukannya dalam arena pembangunan bakat sukan permotoran apabila mengumumkan dua inisiatif besar: pelancaran SKILLDRVN Swift Pro-Cup 2026 serta penubuhan francais antarabangsa pertama mereka di Jepun.

SKILLDRVN Swift Pro-Cup: Kejuaraan Nasional Baharu

Bermula pada tahun 2026, KRA akan memperkenalkan SKILLDRVN Swift Pro-Cup, sebuah kejuaraan berstatus nasional dengan lima pusingan perlumbaan.

Siri ini dibangunkan untuk melengkapkan perlumbaan sedia ada iaitu SKILLDRVN One Make Race (OMR) Series, sekali gus mewujudkan kesinambungan bagi pelumba muda yang mahu melangkah ke tahap lebih tinggi.

Bagi menyertai siri ini, pelumba wajib menamatkan program teras SKILLDRVN Driver Development Program (DDP) dan sekurang-kurangnya menyempurnakan tiga perlumbaan SKILLDRVN Swift OMR.

Mereka juga perlu mengumpul mata kejohanan dan membina rekod kemenangan sebelum layak untuk draf bersama pasukan profesional

pada Januari 2026.

Ruang Baharu dalam Ekosistem Permotoran Malaysia

Menurut Prinsipal dan Ketua Jurulatih KRA, Kenny Lee, kehadiran siri baharu ini menjadi “cabang tambahan” dalam ekosistem sukan permotoran tempatan dengan kos lebih rendah serta lebih mampan.

“Walaupun menggunakan model kereta lama, Pro-Cup menjanjikan perlumbaan rapat ‘door-to-door’, etika pemanduan yang baik serta penyertaan pasukan profesional.

Malah ia turut memberi peluang jenama untuk terlibat secara langsung melalui pemilikan pasukan dengan kos lebih efektif,” jelas beliau.

Untuk musim sulung 2026, Pro-Cup akan menampilkan 10 pasukan eksklusif.

Setakat ini, tiga pasukan sudah pun mengesahkan penyertaan iaitu Team Bendix Malaysia, Team Profimax dan Team Ultra Racing.

Setiap pasukan bermula dengan sebuah kereta, dengan potensi menambah sehingga dua buah kereta pada musim berikutnya.

Kegani Racing Academy Jepun: Francais Antarabangsa Pertama

Selain kejohanan tempatan, KRA turut melancarkan KRA Japan pada 13 Ogos lalu, hasil kerjasama dengan Fujii Engineering.

Terletak di Mie, Suzuka dan hanya 10 minit dari litar ikonik Suzuka Circuit, francais ini mengekalkan konsep asal KRA di Malaysia: membina ekosistem perlumbaan akar umbi dengan gabungan kelas teori, latihan simulator, dan praktikal di litar.

Selain program penuh DDP, KRA Jepun turut menawarkan kursus jangka pendek seperti Track Day Preparation bagi membantu pemandu baharu memahami asas teknikal dan etika pemanduan di litar.

Malah, akademi ini juga menyasarkan untuk menghubungkan bakat Malaysia ke Jepun melalui program pertukaran dan pembangunan bersama.

Pandangan Kenny Lee & Mitsuru Fujii

Kenny Lee menyifatkan penubuhan KRA Jepun sebagai pintu dua hala untuk membuka peluang kepada pelumba Malaysia ke pentas Jepun yang kaya dengan sejarah serta budaya sukan permotoran.

“Dari pengalaman saya sendiri berlumba di Jepun antara 2017–2019, ia memberikan pendedahan mendalam terhadap budaya, teknikal, serta standard perlumbaan mereka. Semua itu membantu membentuk etika perlumbaan yang lebih matang,” katanya.

Bagi Mitsuru Fujii, Pengarah Fujii Engineering, struktur latihan KRA memberi jalan lebih jelas dan mampan kepada pemandu muda Jepun yang sering terkandas akibat kos yang meningkat.

“Motorsport biasanya memerlukan belanja besar tanpa pulangan, tetapi dengan ekosistem KRA, ia lebih lestari. Pemandu dan jurutera muda bukan sahaja belajar, malah dapat menyalurkan ilmu kepada generasi seterusnya dan membina kitaran positif untuk masa depan sukan ini,” ujar Fujii.

Masa Depan Kegani Racing Academy di Asia

KRA Jepun dijangka diperluas ke litar-litar lain di seluruh negara dalam masa terdekat, dengan visi lebih besar untuk membuka francais baharu di rantau Asia.

Sementara itu, akademi di Malaysia terus diperkukuh dengan program Train the Trainer, bagi memastikan standard latihan sentiasa konsisten.

Dengan langkah agresif ini, KRA bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam peta permotoran Asia, tetapi juga membuka ruang kepada lebih ramai pelumba akar umbi untuk merealisasikan impian mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai SKILLDRVN Swift Pro-Cup atau program KRA, boleh hubungi Kenny Lee di 012-614 4141 atau Ju di 012-686 6177. Layari juga Facebook rasmi Kegani Racing Academy.

Baca Juga : Suzuki Swift Sport Final Edition Dilancarkan di Malaysia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi