
MODENAS melalui Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) secara rasmi melancarkan Kawasaki Ninja ZX-4R SE dan Ninja ZX-4RR untuk pasaran Malaysia, menandakan kemasukan model supersport empat silinder bersesaran sederhana yang jarang ditawarkan dalam segmen ini.
Pelancaran yang berlangsung pada 23 Januari itu memperluaskan lagi barisan Ninja dengan penawaran yang memfokuskan prestasi jalanan dan litar.
Kedua-dua model kini boleh didapati di semua pengedar sah Kawasaki All-Star di seluruh negara, dengan unit pameran dan sesi tunggang uji ditawarkan secara berperingkat untuk pasaran tempatan.
Nadi utama Kawasaki Ninja ZX-4R ialah enjin 399 cc empat silinder sebaris DOHC dengan penyejukan cecair. Konfigurasi ini dibangunkan untuk menawarkan penghantaran kuasa yang lancar serta karakter rev tinggi yang menjadi identiti supersport Kawasaki.
Mengikut spesifikasi rasmi, enjin ini menghasilkan kuasa maksimum sehingga 57.0 kW pada 14,500 rpm, dan meningkat kepada 58.7 kW dengan bantuan sistem Ram Air.
Gabungan ini memberikan keseimbangan antara prestasi agresif dan kebolehpanduan harian, menjadikannya sesuai untuk kegunaan jalan raya dan tunggangan lebih ekstrem.
Walaupun berkongsi platform enjin dan casis yang sama, Ninja ZX-4R SE dan ZX-4RR dibezakan dari segi fokus penggunaan.
Ninja ZX-4R SE dibangunkan dengan talaan lebih mesra jalan raya, mengutamakan keyakinan, keselesaan dan kawalan harian tanpa mengorbankan DNA sporty Ninja.
Sebaliknya, Ninja ZX-4RR hadir dengan pendekatan lebih berorientasikan litar. Model ini dilengkapi suspensi Showa boleh laras sepenuhnya, termasuk penyerap hentak belakang Showa BFRC-lite yang diinspirasikan daripada teknologi jentera supersport perdana Kawasaki, memberikan kawalan dan kestabilan lebih tinggi.
Kedua-dua model dilengkapi Kawasaki Quick Shifter (KQS) dua hala sebagai ciri standard, membolehkan penukaran gear ke atas dan ke bawah tanpa penggunaan klac.
Ciri ini meningkatkan kelancaran pecutan serta kawalan ketika tunggangan dinamik.
Bagi varian ZX-4RR, talaan enjin dan sistem Ram Air yang dioptimumkan memberikan sedikit kelebihan prestasi berbanding ZX-4R SE, terutamanya dalam penggunaan berintensiti tinggi seperti tunggangan di litar.
Kawasaki Ninja ZX-4R SE dan ZX-4RR dibina menggunakan rangka trellis keluli tegangan tinggi yang menawarkan keseimbangan antara ketegaran dan ketangkasan.
Dari sudut teknologi, model ini dilengkapi Kawasaki Traction Control (KTRC), sistem ABS, mod kuasa boleh pilih serta paparan meter TFT berwarna.
Paparan TFT ini menyediakan maklumat tunggangan yang jelas dan mudah dibaca, membantu meningkatkan keyakinan penunggang dalam pelbagai keadaan jalan dan situasi tunggangan.
Dari segi reka bentuk, kedua-dua model mengekalkan penampilan agresif sinonim dengan keluarga Ninja, lengkap dengan sistem lampu LED penuh dan bodywork aerodinamik.
Ninja ZX-4R SE ditawarkan dalam warna Metallic Moondusty Gray/Metallic Spark Black serta Blizzard White/Spark Black.
Ninja ZX-4RR pula tampil eksklusif dalam warna Lime Green/Ebony, membezakan identitinya sebagai varian yang lebih fokus kepada prestasi dan penggunaan litar.
Untuk pasaran Malaysia, Kawasaki Ninja ZX-4R SE ditawarkan pada harga RM40,999, manakala Ninja ZX-4RR pula berharga RM42,999, tidak termasuk insurans dan pendaftaran.
Kedua-dua model hadir dengan perlindungan waranti rasmi Kawasaki dan boleh didapati di rangkaian pengedar Kawasaki All-Star di seluruh negara.
Pelancaran Kawasaki Ninja ZX-4R SE dan ZX-4RR memperkukuhkan kedudukan Kawasaki sebagai antara pengeluar yang berani menawarkan teknologi empat silinder dalam segmen bersesaran sederhana.
Dengan prestasi rev tinggi, casis seimbang dan teknologi moden, model ini menawarkan pengalaman supersport sebenar untuk kegunaan harian mahupun litar.
Baca juga: Pelancaran Rasmi Kawasaki Ninja 1100SX di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.