Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS), pengeluar motosikal nasional di bawah kumpulan DRB-HICOM, hari ini melancarkan Kawasaki Nilai sebagai All Star 4S Centre (Sales, Service, Spare Parts & Showroom) yang ke-10 di Malaysia. Pembukaan rasmi ini dijayakan dengan kerjasama Sendayan Motor Sdn. Bhd., pengedar Kawasaki yang berpengalaman lebih empat dekad di Negeri Sembilan.
Majlis perasmian ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha MODENAS memperkukuh kehadiran Kawasaki di pasaran tempatan. Melalui pusat All Star 4S, pelanggan kini boleh menikmati pengalaman menyeluruh daripada urusan jualan, khidmat selepas jualan, penyediaan alat ganti tulen hingga ke pameran model baharu semuanya di bawah satu bumbung dengan standard antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, En. Roslan Roskan, menyifatkan pembukaan pusat baharu di Nilai ini sebagai bukti komitmen jenama terhadap komuniti penunggang Malaysia.
“Nilai menjadi All Star outlet ke-10 Kawasaki di Malaysia, menandakan satu lagi langkah penting dalam misi kami memperluas rangkaian dan memastikan pelanggan di seluruh negara dapat menikmati perkhidmatan bertaraf dunia,” ujar beliau.
Roslan turut menambah bahawa setiap pusat All Star bukan sekadar lokasi jualan, tetapi juga menjadi nadi komuniti setempat yang mencipta peluang pekerjaan, serta mengukuhkan budaya permotoran di Negeri Sembilan dan kawasan sekitarnya.
Menurut Mr. Hitoshi Inoue, Ketua Pegawai Pemasaran MODENAS, Kawasaki Nilai dibina sebagai sebuah “pusat komuniti” untuk peminat motosikal.
“Kawasaki bukan sekadar tentang mesin ia tentang kebebasan, semangat dan komuniti. Kami mahu setiap pusat All Star menjadi tempat di mana penunggang berkumpul, berkongsi minat dan meneroka inovasi baharu,”
katanya.Dengan kemudahan serba lengkap, pelanggan dapat merasai sendiri hospitaliti Jepun dan profesionalisme tempatan sama ada untuk servis rutin, test ride, atau mendapatkan barangan rasmi Kawasaki.
Kawasaki Nilai beroperasi dibawah Sendayan Motor Sdn. Bhd., sebuah perniagaan keluarga yang telah bertapak sejak tahun 1976. Kini dengan lima cawangan beroperasi di Negeri Sembilan, syarikat itu terus mengekalkan reputasi sebagai pengedar motosikal yang dipercayai.
Majlis pembukaan rasmi disempurnakan oleh YB Arulkumar A/L Jambunanthan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai. Acara turut diserikan dengan persembahan tarian singa, sesi menandatangani plak perasmian, lawatan ke ruang pameran dan jamuan mesra yang dihadiri lebih 500 tetamu termasuk pelanggan setia dan peminat Kawasaki.
Turut mencuri tumpuan ialah cabutan bertuah dengan hadiah menarik seperti motosikal MODENAS MR3, topi keledar LS2, jaket penunggang, serta barangan eksklusif Kawasaki.
MODENAS dan Kawasaki turut mengesahkan bahawa beberapa All Star outlet baharu sedang dalam perancangan, sejajar dengan matlamat memperkukuh kehadiran Kawasaki di seluruh Malaysia. Selain memperluas capaian, fokus akan turut diberikan kepada pembangunan mobiliti lestari dan gaya hidup premium yang lebih mesra generasi muda penunggang masa hadapan.
Ringkasnya, pembukaan Kawasaki Nilai bukan sekadar penambahan cawangan, tetapi lambang evolusi jenama hijau lagenda ini di bawah naungan MODENAS demi memperkukuhkan kepercayaan, komuniti, dan semangat dua roda di Malaysia.
Baca Juga : Kawasaki Serdang 4S Kini Dibuka, Versys 1100 & Ninja 1100 SX SE Turut Diperkenal
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Baca Juga : Kawasaki H2 HySE prototype Tawan Le Mans