Automotif

Jambatan Batang Lupar 1 Jadi Mercu Tanda Baharu Infrastruktur Jalan Raya Sarawak

Share

Jambatan Batang Lupar 1 Diiktiraf Jambatan Merentasi Sungai Terpanjang Di Malaysia

Jambatan Batang Lupar 1 kini mencatat sejarah apabila secara rasmi diiktiraf sebagai jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia oleh Malaysia Book of Records.

Pengiktirafan itu diumumkan bersempena Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1, sekali gus menjadikan projek berkenaan sebagai satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur jalan raya Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengiktirafan tersebut menjadi kebanggaan besar kepada kerajaan negeri dan rakyat Sarawak.

Kredit Foto : YB Aidel lariwoo

Menurut beliau, Jambatan Batang Lupar 1 bukan sahaja menghubungkan dua tebing sungai, malah turut menjadi mercu tanda kejuruteraan yang mencerminkan kemampuan Sarawak melaksanakan projek infrastruktur berskala besar.

Dengan panjang keseluruhan 4.844 kilometer, jambatan bernilai lebih RM848 juta itu dibangunkan bagi memperkukuh rangkaian jalan raya di kawasan pesisir Sarawak, selain menyediakan akses yang lebih baik kepada penduduk dan pengguna jalan raya.

Projek ini juga dilihat mampu memendekkan masa perjalanan, mengurangkan kebergantungan kepada laluan alternatif sedia ada serta membuka lebih banyak peluang mobiliti antara kawasan pesisir.

Douglas Uggah turut menjelaskan bahawa pembinaan jambatan itu bukan satu tugas mudah kerana melibatkan cabaran teknikal besar, termasuk arus sungai yang deras, ombak kuat serta keadaan geologi yang kompleks.

Namun, cabaran tersebut berjaya diatasi menerusi penggunaan teknologi moden dan kepakaran kejuruteraan bertaraf dunia sehingga membolehkan jambatan berkenaan disiapkan.

Selain memberi manfaat kepada pengguna jalan raya, Jambatan Batang Lupar 1 turut dijangka merancakkan aktiviti ekonomi, pelaburan dan pelancongan di kawasan pesisir Sarawak.

Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Jambatan Batang Lupar 1 sebagai mercu tanda baharu infrastruktur jalan raya Sarawak, serta simbol kemajuan negeri tersebut dalam membangunkan rangkaian perhubungan yang lebih menyeluruh.

Sumber: TVS

Baca Juga : Jambatan Landasan Kereta Api Terpanjang di Dunia Sejauh 1813 Kilometer

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi