Automotif

BMW Group Malaysia Lancar i5 CKD dan iX1 eDrive20L Baharu

Share

BMW Group Malaysia Perkukuh Dominasi EV Premium dengan BMW i5 CKD Pertama Asia-Pasifik dan BMW iX1 LWB

BMW Group Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kenderaan elektrik (EV) premium di pasaran tempatan dengan pelancaran dua model baharu iaitu BMW i5 eDrive40 M Sport Pro pemasangan tempatan serta BMW iX1 eDrive20L M Sport.

Pengenalan kedua-dua model ini bukan sekadar memperluas portfolio EV BMW di Malaysia, malah menandakan satu pencapaian bersejarah apabila BMW i5 menjadi model BMW elektrik pertama yang dipasang secara tempatan (CKD) dan yang pertama seumpamanya di rantau Asia-Pasifik.

BMW i5 eDrive40 M Sport Pro

BMW i5 eDrive40 M Sport Pro pemasangan tempatan tampil sebagai interpretasi moden sedan eksekutif berprestasi tinggi. Harga yang ditawarkan adalah RM 368,800.

Ia menggunakan teknologi BMW eDrive generasi kelima yang dipertingkatkan, membolehkan jarak pemanduan elektrik sehingga 627 km (WLTP). Ini menjadikannya antara sedan elektrik paling praktikal dalam kelasnya, sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.

Dari segi rekaan, i5 menampilkan karakter yang sporty, hadir dengan gril BMW Shadowline Iconic Glow, lampu hadapan LED Adaptif serta siluet badan yang memanjang dan kemasan Shadowline di bahagian belakang.

Rim Aerodinamik M 20 inci, brek M Sport dan spoiler belakang M melengkapkan penampilan agresif yang seimbang dengan imej premium.

Ruang kabin pula menekankan pengalaman digital dan keselesaan yang tinggi. BMW Curved Display bersama BMW Operating System 8.5 menjadi pusat kawalan utama, disokong BMW Interaction Bar dan pencahayaan ambien dinamik.

Upholsteri kulit Merino BMW Individual, bumbung kaca panorama, sistem audio Bowers & Wilkins serta pelbagai ciri keselesaan seperti pendingin hawa empat zon dan tempat duduk sport elektrik memastikan pengalaman setaraf limosin moden.

Prestasi dan Kecekapan

Model ini menggunakan motor elektrik pacuan belakang yang menjana 250 kW (340 hp) dan 430 Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam 6.0 saat.

Suspensi Adaptif Profesional dan Stereng Aktif Integral meningkatkan kestabilan serta ketangkasan, manakala sistem pengurusan haba pintar dan penggunaan silikon karbida (SiC) menyumbang kepada kecekapan tenaga yang lebih baik.

Sokongan pengecasan pantas DC sehingga 205 kW membolehkan bateri dicas 10–80 peratus dalam 34 minit, menjadikan i5 benar-benar praktikal.

BMW iX1 eDrive20L M Sport

Melengkapkan pelancaran ini ialah BMW iX1 eDrive20L M Sport, versi jarak roda panjang yang direka khusus untuk pasaran yang mengutamakan ruang dan keselesaan. Harga yang ditawarkan adalah RM 255,000.

Dengan jarak roda dipanjangkan 110 mm, ruang kaki dan lutut penumpang belakang menjadi lebih luas dan lebih sesuai untuk kegunaan keluarga atau pemanduan harian di bandar.

Reka bentuk luaran mengekalkan identiti SAV BMW yang sporty, dengan gril tertutup bercorak X, lampu LED Adaptif dan rim M 19 inci.

Di bahagian dalam, model ini hadir dengan BMW Curved Display dengan Operating System 9, bumbung panorama tanpa tiang tengah serta sistem audio Harman Kardon menyerlahkan fokus terhadap keselesaan dan teknologi.

BMW iX1 eDrive20L M Sport digerakkan oleh motor elektrik 150 kW (204 hp) dengan tork 250 Nm, mencukupi untuk pecutan 0–100 km/j dalam 8.6 saat.

Bateri 66.5 kWh membolehkan jarak pemanduan sehingga 433 km (WLTP), dengan sokongan pengecasan pantas DC 130 kW yang mampu menambah jarak perjalanan dalam masa yang singkat.

Seperti model BMW lain di Malaysia, kedua-dua EV ini disokong oleh pakej pemilikan komprehensif termasuk BMW Proactive Care, BSRI dengan perlindungan servis dan waranti jangka panjang, serta jaminan bateri berkampasiti tinggi.

Kesemua ini mengukuhkan komitmen BMW Group Malaysia dalam menawarkan pengalaman pemilikan EV premium yang benar-benar menyeluruh.

Secara keseluruhan, pelancaran BMW i5 CKD dan BMW iX1 LWB bukan sahaja memperluas pilihan EV premium di Malaysia, malah menandakan fasa baharu industri automotif tempatan dalam era elektrifikasi.

Baca Juga : BMW M2 CS 2026 “Compact Car” Terpantas Di Litar Nürburgring-Nordschleife

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi