Automotif

Hyundai Motor Malaysia Umum Jaminan 8 Tahun / 160,000km Model STARIA, TUCSON & SANTA FE

Share

Hyundai Malaysia Perkenal STARIA, TUCSON dan SANTA FE Baharu

Hyundai Motor Malaysia (HMM) hari ini secara rasmi melancarkan tiga model serentak iaitu Hyundai STARIA, TUCSON dan SANTA FE generasi baharu.

Pelancaran ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam era mobiliti pintar jenama dari Korea Selatan ini di Malaysia.

Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan model baharu, tetapi juga sebagai titik mula buat HMM sebagai entiti rasmi baharu di bawah Hyundai Motor Company.

STARIA – MPV Futuristik Yang Lain Daripada Yang Lain

Diperkenalkan sebagai MPV generasi baharu, Hyundai STARIA tampil dengan rekaan unik seakan kapal angkasa.

Model ini dijangka menarik minat mereka yang mahukan kelainan, sama ada untuk kegunaan keluarga besar atau sebagai MPV eksekutif yang bergaya.

Dikuasakan oleh enjin 2.2L CRDi turbodiesel yang menghasilkan 177 PS dan 430 Nm tork, STARIA dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan dan pacuan roda hadapan.

Tiga varian ditawarkan: Style dan Prime (10 tempat duduk), serta Prestige (7 atau 10 tempat duduk).

Antara ciri menarik termasuk:

  • Lampu depan LED penuh dengan kemasan krom loyang

  • Tempat duduk santai premium dan sistem audio BOSE® 12 pembesar suara (varian Prestige)

  • Ruang but hingga 1,024 liter

  • Sistem bantuan pemandu Hyundai SmartSense lengkap dengan AEB, Lane Keep Assist, Blind Spot Warning, Smart Cruise Control dan banyak lagi

Harga bermula dari RM179,888, STARIA tampil sebagai pilihan berani dan moden dalam segmen MPV premium.

TUCSON – SUV Paling Versatil Hyundai Kini Dalam Bentuk Hibrid

Hyundai TUCSON kini hadir dalam generasi baharu sepenuhnya, dengan pilihan enjin petrol, turbo dan buat pertama kalinya sistem hibrid.

Reka bentuknya tampak lebih maskulin dan futuristik, manakala kabin pula direka dengan pendekatan yang sangat moden dan praktikal.

Ditawarkan dalam tiga pilihan trenkuasa:

  • 2.0L NA Smartstream – 156 PS / 192 Nm

  • 1.6L Turbo GDi – 180 PS / 265 Nm (DCT 7-kelajuan)

  • 1.6L Turbo Hibrid (HEV) – 235 PS / 367 Nm

Ciri menarik termasuk:

  • Skrin melengkung digital 12.3” berkembar (kluster & infotainmen)

  • Konsol terapung dengan butang gear by-wire

  • Cap jari untuk profil pemandu

  • Hyundai SmartSense lengkap, termasuk ciri prestij seperti 360-camera, RCTA, monitor titik buta dan banyak lagi

Dengan harga bermula RM143,888, TUCSON menetapkan penanda aras baharu untuk SUV segmen-C yang berteknologi tinggi, versatil dan berwajah futuristik.

SANTA FE – SUV Keluarga Premium

SANTA FE generasi baharu adalah SUV terbesar dan paling mewah dalam barisan Hyundai setakat ini.

Kini tampil lebih tegap dengan lampu berbentuk ‘H’ yang ikonik, serta ruang dalaman yang luas dan penuh teknologi.

Ia jelas menyasarkan pengguna keluarga yang perlukan gaya, fungsi dan kepraktisan tanpa kompromi.

Dua pilihan enjin ditawarkan:

  • 2.5L Turbo GDi AWD – 281 PS / 440 Nm (DCT 8-kelajuan)

  • 1.6L Hibrid (HEV) – 235 PS / 367 Nm (6AT)

Ciri menonjol termasuk:

  • Paparan digital panoramik dengan skrin infotainmen dan kluster 12.3”

  • UV-C sanitising tray dan pengecasan dwi-wayarles (pertama dalam kelasnya)

  • Konfigurasi 6 atau 7 tempat duduk dengan kerusi baris kedua boleh lipat & simpan

  • Hyundai SmartSense versi penuh, termasuk FCA 2.0 dengan stereng elak automatik, Blind Spot View Monitor, RSPA (remote smart parking), trailer mode dan 3D surround view camera

Harga bermula RM225,000, dan menjadi pilihan premium yang ideal untuk keluarga urban moden yang aktif dan gemar mengembara.

Jaminan, Ganjaran Awal & Pelan Luas Pasca Jualan

Sebagai ganjaran untuk pelanggan awal, 100 pembeli pertama akan menerima lapan kali servis percuma, termasuk kos buruh dan alat ganti.

Kesemua model Hyundai baharu turut disertakan waranti 8 tahun / 160,000 km, berserta 4 kali servis percuma.

Menjelang 2030, HMM menyasarkan pengembangan ke 25 pusat servis sah

di seluruh Malaysia untuk memastikan liputan servis yang meluas dan menyeluruh.

Komitmen Serius Hyundai di Malaysia

Pelancaran rasmi Hyundai Motor Malaysia dan barisan produk yang lengkap serta moden, jenama ini jelas menunjukkan komitmen jangka panjang yang serius.

Daripada MPV futuristik STARIA, SUV versatil TUCSON sehinggalah SUV keluarga mewah SANTA FE, Hyundai kini menawarkan sesuatu untuk setiap gaya hidup rakyat Malaysia dengan sentuhan teknologi, reka bentuk unik dan pakej pemilikan yang menyeluruh.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Baca Juga : CelcomDigi Perluas Infrastruktur Pengecasan EV di Seluruh Negara

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi