Automotif

Hyundai Ioniq 5 Facelift 2024 Dengan Bateri Lebih Besar!

Share

Setelah tiga tahun dilancarkan, jenama automobil Korea Selatan, Hyundai, kini memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) Ioniq 5 yang telah mengalami ubahsuai dan kemaskini.

Model crossover EV ini, kini hadir dengan kelebihan dari segi kemas kini luaran dan dalaman, bateri yang lebih besar, serta gabungan dengan barisan model dengan kemasan N Line yang bersifat sporty.

Secara visual, Hyundai Ioniq 5 masih mengekalkan reka bentuk asasnya, namun kali ini, ia telah menerima kemas kini pada bampar hadapan dan belakang yang telah direka semula. Komponen air intake juga diperluaskan sedikit berbanding sebelumnya.

Turut dilakukan reka bentuk aero baharu pada bahagian roda aloi, serta spoiler belakang yang lebih besar yang turut dipanjangkan sebanyak 50 mm.

Kredit Foto: motor1.com

Secara keseluruhan, EV facelift ini adalah 20 mm lebih panjang daripada model sebelumnya, dengan panjang keseluruhan sehingga 4655 mm. Hyundai Ioniq 5 N Line, tambahan baharu dalam barisan N Line, mempunyai bodykit versi khusus yang dihiasi dengan beberapa lencana N Line. 

Bampar hadapannya mempunyai kepak berwarna terang yang diinspirasi oleh Ioniq 5 N, dengan sentuhan serupa pada bahagian belakang. Bahagian profilnya ditingkatkan dengan fender yang mengikut warna badan, serta hadir dengan skirt sisi yang diubahsuai dan set roda aloi 20 inci baharu.

Bagi bahagian dalaman, model ini mempunyai beberapa sentuhan unik termasuk stereng yang berbeza, tempat duduk sports, pedal logam, pelapik hitam, aksen baharu pada papan pemuka, jahitan merah, dan banyak lagi lencana N Line. 

Ioniq 5 juga telah ditingkatkan dari segi ergonomik dengan penambahan butang fizikal baru pada konsol tengah untuk mengawal ciri-ciri tambahan yang lebih kompleks. Pengecas tanpa wayar dipindahkan lebih tinggi dan disusun secara menegak, sementara kawalan A/C dan infotainment direka bentuk semula untuk operasi yang lebih mudah.

Kredit Foto: motor1.com

Sistem infotainment terbaru dipanggil “connected car Navigation Cockpit” dan serasi dengan perisian tanpa wayar yang dikemaskini. Ioniq 5 facelift ini juga dilengkapi dengan bateri berkapasiti 84kWh yang lebih besar berbanding dengan model sebelumnya yang hanya memiliki kapasiti 77.4kWh. 

Walaupun Hyundai belum mengumumkan angka rasmi kapasiti bateri, ia dijangka dapat menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh daripada model sebelumnya yang mampu mencapai jarak perjalanan 507km WLTP.

Syarikat ini juga tidak menyebut sebarang perubahan pada rangkaian kuasa elektrik tunggal dan dwi-motor yang menghasilkan kuasa antara 168hp dan 321hp untuk Ioniq 5. Hyundai Ioniq 5 facelift terbaharu akan mula tersedia di Korea bermula Mac 2024, dengan pasaran global akan menyusul secara beransur-ansur dalam tahun ini.

Baca: Hyundai IONIQ 5 ASEAN Tour Jadi Bukti Keunggulan Jentera Dengan Kecekapan Kos Luar Biasa

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan