
Boon Siew Honda Sdn. Bhd. memperkenalkan versi dikemas kini bagi skuter adventure ikoniknya, Honda X-ADV 2026 untuk pasaran Malaysia. Model ini menerima sentuhan visual lebih segar dengan kombinasi jalur grafik yang lebih menarik dan blok warna solid yang menyerlahkan lagi karakter motosikal ini.
Antara warna yang ditawarkan ialah Matte Pearl Glare White, Matte Deep Mud Gray dan Graphite Black, dengan pilihan putih matte tampil lebih eksklusif dari segi harga.
X-ADV kekal sebagai model unik dalam segmennya, malah terus mengangkat imej sebagai skuter adventure pertama dunia yang mengaplikasikan bahan bio-plastik berasaskan tumbuhan.
Melalui penggunaan material Durabio iaitu sejenis bioplastik berasaskan biojisim pada bahagian fairing dan windscreen, Honda menyokong aspirasi “Circular Design”. Menariknya, bahan ini tidak memerlukan cat tambahan dan mempunyai ketahanan calar yang tinggi, sekali gus mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Dari sudut kuasa, X-ADV masih dikuasakan enjin 745cc parallel-twin yang menghasilkan 43kW pada 6,750rpm dan 69Nm pada 4,750rpm. Karakter enjin ini lebih menumpukan tork pertengahan yang sesuai untuk tunggangan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
Transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) menjadi antara tarikan utama, menawarkan penukaran gear automatik yang lancar terutama pada kelajuan rendah, ketika trafik bandar atau membuat pusingan U. Sistem ini dipadankan dengan Throttle By Wire (TBW)
dan Honda Selectable Torque Control (HSTC) bagi kawalan lebih optimum.Dari segi pencahayaan, rekaan lampu berkembar LED dengan konsep “Hidden Eye” memberikan imej futuristik dan kawasan sekeliling projektor digelapkan untuk menonjolkan Daytime Running Light (DRL).
Ciri praktikal pula tidak dilupakan. Antaranya termasuk:
Cruise Control untuk tunggangan jarak jauh lebih selesa
Ruang simpanan bawah tempat duduk 22 liter lengkap pembahagi bagasi
Skrin angin boleh laras satu tangan
Paparan TFT 5-inci dengan sokongan Honda RoadSync
Empat mod tunggangan pratetap + dua mod USER
Sistem Smart Key
Harga cadangan bilik pameran adalah seperti berikut:
Matte Pearl Glare White – RM71,999
Matte Deep Mud Gray – RM70,999
Graphite Black – RM70,999
Harga tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar dua tahun atau 20,000km (mana yang terdahulu).
Tempahan dibuka bermula hari ini dan unit akan berada di semua Honda BigWing seluruh negara menjelang hujung Mei 2026.
Baca Juga : Boon Siew Honda Perkenal Kemas Kini Africa Twin 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.