Honda Gold Wing 50th Anniversary, Penyerahan Eksklusif Kepada Pemilik

Share

Majlis Penyerahan di Petaling Jaya

Boon Siew Honda baru-baru ini mengadakan sebuah majlis penyerahan eksklusif bagi meraikan pemilik edisi terhad Honda Gold Wing 50th Anniversary. Acara ini berlangsung di Metal Bees, Petaling Jaya, menghimpunkan barisan pemilik bertuah yang kini menjadi sebahagian daripada komuniti istimewa Gold Wing di Malaysia.

Legasi 50 Tahun Gold Wing

Sejak kemunculannya pada tahun 1975, Gold Wing telah melakar legasi sebagai motosikal jelajah jarak jauh paling mewah di dunia. Dengan reputasi sebagai simbol kebebasan, keselesaan dan kejuruteraan premium, model ulang tahun ke-50 ini melambangkan setengah abad pencapaian yang tiada tandingan dalam segmen touring. Honda Gold Wing telah menjadi ikon yang melambangkan status, gaya hidup dan rasa kebanggaan tersendiri.

Eksklusif Hanya 15 Unit di Malaysia

Honda Gold Wing 50th Anniversary ini hanya diperuntukkan sebanyak 15 unit untuk pasaran Malaysia, menjadikannya antara koleksi paling eksklusif yang pernah ditawarkan oleh Honda. Model ini menampilkan sentuhan khas termasuk dua pilihan warna istimewa Eternal Gold dan Bordeaux Red Metallic, lencana 50th Anniversary pada fairing sisi dan kotak pannier, logo Gold Wing yang tertera kemas di bahagian badan, serta rekaan konsol tengah dan kunci pintar dengan perincian eksklusif.

Setiap pemilik juga menerima pakej kotak peringatan edisi khas yang mengandungi model motosikal Gold Wing, buku 50th Anniversary, kotak peringatan dan sijil plat emas peringatan rasmi.

Menurut Kunitomo Asano, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, kehadiran Honda Gold Wing 50th Anniversary ini bukan sahaja menandakan pencapaian besar dalam sejarah Honda, tetapi juga meraikan semangat pemilik yang menjadi nadi kepada komuniti Gold Wing di seluruh dunia.

“Dengan rekaan elegan dan karisma yang tersendiri, Gold Wing 50th Anniversary Edition berdiri sebagai simbol kejayaan, semangat dan legasi. Kami berbesar hati dapat meraikan detik emas ini bersama pemilik di Malaysia,” jelas beliau.

Ikatan Komuniti Gold Wing Malaysia

Majlis penyerahan ini bukan sahaja memperkukuh komitmen Honda untuk terus menawarkan produk premium, teknologi terkini dan servis berkualiti tinggi, malah turut mengeratkan ikatan komuniti Gold Wing di Malaysia.

Ia sekali lagi menegaskan bahawa Gold Wing bukan sekadar jentera dua roda, tetapi sebuah ikon abadi yang terus terbang tinggi membawa legasi 50 tahun ke hadapan.

Baca Juga : Honda Meraikan Ulang Tahun Ke-50 Model Honda Gold Wing

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi