Honda terus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran kenderaan elektrik serantau dengan pelancaran rasmi model Honda e:N1 di Thailand.
Ditawarkan pada harga 1,199,000 Baht (anggaran sekitar RM157,000), SUV elektrik ini merupakan unit import sepenuhnya (CBU) dari China dan digelar sebagai versi elektrik penuh kepada Honda HR-V.
Dari segi dimensi, Honda e:N1 menampilkan ukuran yang hampir setara dengan HR-V petrol generasi terkini, namun sedikit lebih panjang dan rendah.
Ia berukuran panjang 4,390 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,560 mm, dengan jarak antara roda 2,610 mm.
Dikuasakan oleh motor elektrik jenis AC synchronous dengan kuasa maksimum 204 PS dan tork 310 Nm, e:N1 menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 68.8 kWh yang mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 500 kilometer mengikut standard NEDC.
Sistem pacuan roda hadapan ini menyokong pengecasan pantas DC 78 kW (0–80% dalam masa 40 minit) serta pengecasan AC 7 kW.
Rekaan luarannya mencerminkan pendekatan moden Honda, dengan lampu LED penuh, gril tertutup, dan rim aloi 18 inci.
Bahagian hadapan juga menempatkan port pengecas dengan paparan status pengecasan.
Terdapat dua pilihan warna ditawarkan iaitu Premium Sunlight White Pearl dan Crystal Black Pearl.
Bahagian dalaman pula diserlahkan dengan paparan sentuh 15.1 inci, pencahayaan ambien biru, serta sistem kawalan pendingin hawa dwi-zon.
Ia turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta fungsi pengecasan telefon pintar tanpa wayar.
Tempat duduk boleh dilipat dalam konfigurasi Utility atau Long Mode untuk ruang kargo maksimum.
Dari aspek keselamatan, e:N1 hadir dengan pakej lengkap Honda SENSING termasuk sistem brek kecemasan, amaran keluar lorong, kawalan kelajuan adaptif, serta kamera undur pelbagai sudut.
Tambahan lagi, ia dilengkapi enam beg udara, sensor parkir, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta ISOFIX untuk keselamatan kanak-kanak.
Jaminan yang ditawarkan turut mengagumkan – 5 tahun atau 140,000 km untuk kenderaan (termasuk lanjutan), 5 tahun tanpa had batuan untuk sistem motor, dan 10 tahun tanpa had untuk bateri voltan tinggi.
Pelancaran ini menjadikan Honda e:N1 salah satu pilihan menarik dalam pasaran SUV elektrik ASEAN.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga :Honda Malaysia Lancar Civic Baharu dengan Google Built-In