
GWM Malaysia menutup tirai 2025 dengan prestasi yang cukup memberangsangkan apabila mencatat pertumbuhan jualan sebanyak 177% tahun ke tahun.
Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan peningkatan keyakinan pengguna tempatan, malah mengukuhkan kedudukan jenama ini dalam landskap automotif Malaysia yang semakin kompetitif.
Prestasi cemerlang GWM Malaysia sejajar dengan pertumbuhan pesat segmen hibrid tempatan.
Sepanjang 2025, GWM berjaya menduduki tempat ketiga pasaran hibrid Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak 15.5 peratus, satu angka yang mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain utama dalam teknologi elektrifikasi.
Model yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini sudah tentu GWM Haval H6 HEV. Sepanjang 2025, SUV hibrid ini muncul sebagai model HEV kedua terlaris di Malaysia dengan pegangan pasaran 14.9 peratus.
Gabungan kecekapan bahan api, praktikaliti harian dan teknologi hibrid yang matang menjadikan H6 HEV pilihan popular dalam kalangan pengguna tempatan.
Pencapaian ini juga menggambarkan perubahan jelas dalam keutamaan pembeli, yang kini semakin terbuka kepada kenderaan hibrid sebagai solusi mobiliti lebih hijau tanpa mengorbankan keselesaan atau prestasi.
Kejayaan Haval H6 HEV membuktikan hibrid bukan lagi pilihan niche, sebaliknya sudah diterima arus perdana.
Meneruskan momentum tersebut, GWM Malaysia turut meletakkan asas untuk fasa seterusnya menerusi seni bina hibrid generasi baharu Hi4.
Lebih daripada sekadar naik taraf teknologi, Hi4 mencerminkan hala tuju jangka panjang GWM yang menggabungkan kecekapan, prestasi serta pengurusan tenaga pintar dalam satu ekosistem hibrid menyeluruh.
Selain Haval H6 HEV, GWM Malaysia juga mengekalkan barisan produk yang pelbagai sepanjang 2025, merangkumi penawaran elektrifikasi dan model berorientasikan gaya hidup.
Pendekatan ini disokong dengan inisiatif pembinaan jenama berterusan bagi meningkatkan kesedaran serta kepercayaan pengguna tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, portfolio ini bakal diperluaskan lagi dengan pelancaran WEY G9, sebuah MPV mewah pintar yang dijadualkan tiba pada penghujung Januari 2026.
Model ini menandakan langkah GWM Malaysia ke arah mobiliti premium dan berteknologi tinggi.
Momentum tempatan ini turut disokong oleh prestasi global GWM. Sepanjang 2025, GWM mencatat jualan global sebanyak 1.32 juta unit, meningkat 7.33 peratus, dengan penghantaran luar negara melepasi 506,000 unit.
Kenderaan tenaga baharu (NEV) menjadi pemacu utama dengan jualan lebih 403,000 unit, meningkat 25.44 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Mengulas hala tuju syarikat, Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi, menegaskan fokus jenama untuk terus berkembang secara mampan, mengukuhkan kepimpinan hibrid dan menawarkan nilai sebenar kepada pelanggan tempatan.
Dengan perancangan rapi serta pengenalan model baharu pada 2026, GWM Malaysia kini berada pada landasan tepat untuk terus berkembang dalam pasaran automotif tempatan yang semakin beralih ke arah mobiliti lebih pintar dan lestari.
Baca Juga : Selamatkan Kereta dari Serangga! Tips Terbaik Untuk Usir Serangga Dalam Kereta
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.