Automotif

Toyota Gazoo Racing Memperkenalkan GR Yaris MORIZO RR Edisi Terhad

Share

GR Yaris MORIZO RR: DNA Nürburgring Dalam Bentuk Edisi Terhad

Toyota Gazoo Racing (TGR) secara rasmi memperkenalkan edisi khas GR Yaris MORIZO RR. Model prototaip ini dipertontonkan kepada umum di Tokyo Auto Salon 2026.

GR Yaris MORIZO RR dihasilkan menerusi kolaborasi langsung bersama Pengerusi Toyota Motor Corporation dan pemandu ujian utama, Akio Toyoda, yang lebih dikenali dengan nama samaran Morizo.

Tidak seperti edisi khas konvensional, penglibatan Morizo dalam projek ini merangkumi pemanduan sebenar di litar, penyampaian maklum balas teknikal serta penglibatan langsung dalam hala tuju pembangunan kenderaan.

Pengalaman 24 Jam di Nürburgring

Inspirasi utama MORIZO RR datang daripada penyertaan pasukan TOYOTA GAZOO ROOKIE Racing (TGRR) dalam perlumbaan Nürburgring 24 Hours 2025.

Dalam perlumbaan ketahanan tersebut, Morizo sendiri memandu GR Yaris bernombor 109 yang dilengkapi transmisi automatik lapan kelajuan GAZOO Racing Direct Automatic Transmission, dan berjaya mencatat jarak pemanduan melebihi sasaran asal dalam keadaan litar yang ekstrem dan tidak menentu.

Transmisi Automatik Yang Dibuktikan Di Litar

Antara penemuan paling signifikan daripada perlumbaan itu ialah keupayaan transmisi automatik lapan kelajuan yang digunakan. Morizo menyifatkan sistem tersebut sebagai faktor utama yang membolehkannya mengekalkan konsistensi sehingga 15 pusingan, sekali gus mencabar persepsi bahawa transmisi automatik tidak sesuai untuk pemanduan prestasi tinggi. Dapatan inilah yang kemudiannya diaplikasikan secara terus pada pembangunan MORIZO RR.

Fokus Kepada ‘Car-Driver Unity’

Sejajar dengan DNA GR, GR Yaris MORIZO RR dibangunkan dengan penekanan terhadap hubungan intuitif antara pemandu dan jentera. Keutamaan diberikan kepada kebolehpercayaan, tahap keyakinan pemanduan dan respons kenderaan, agar kereta ini bukan sahaja berprestasi tinggi di litar, tetapi juga menyeronokkan serta selamat untuk dipandu dalam penggunaan harian.

Suspensi Ditala Khas Nürburgring

Aspek teknikal utama MORIZO RR terletak pada sistem suspensi yang ditala khusus berdasarkan karakter permukaan Nürburgring yang kasar dan tidak sekata. Dengan sokongan daya turun tinggi daripada sayap belakang gentian karbon eksklusif, tetapan redaman dioptimumkan bagi memastikan tayar sentiasa mengekalkan sentuhan maksimum dengan permukaan jalan. Sistem stereng kuasa elektrik (EPS) turut menerima talaan semula untuk meningkatkan ketepatan dan maklum balas stereng.

Mod Pacuan Semua Roda “MORIZO”

MORIZO RR turut memperkenalkan mod pacuan semua roda (4WD) eksklusif yang dinamakan “MORIZO”, menggantikan mod GRAVEL pada GR Yaris standard. Mod ini menetapkan agihan tork awal hadapan dan belakang pada nisbah 50:50, memberikan keseimbangan kawalan yang lebih neutral serta kestabilan optimum ketika pecutan keluar selekoh.

Reka Bentuk Luaran Berasaskan Aerodinamik Perlumbaan

Dari segi visual, GR Yaris MORIZO RR tampil dengan warna eksklusif “Gravel Khaki”, warna kegemaran Morizo yang unik namun masih sesuai untuk kegunaan harian. Elemen aerodinamik seperti spoiler hadapan, side skirt, bonet gentian karbon dan sayap belakang gentian karbon dibangunkan terus daripada pengalaman perlumbaan, disempurnakan dengan gril Piano Black, rim Matte Bronze dan angkup brek berwarna kuning.

Kabin Fokus Pemandu dan Eksklusiviti

Bahagian dalaman pula mengekalkan pendekatan berfokuskan pemandu dengan stereng bersalut suede, jahitan kuning serta paddle shifter dan suis yang diubah suai berdasarkan pengalaman daripada jentera GR Yaris Rally2. Tempat duduk eksklusif, paparan meter TFT khas mod “MORIZO” serta plat nombor siri “MORIZO RR” mengukuhkan statusnya sebagai edisi terhad sebenar.

Untuk pasaran Jepun, GR Yaris MORIZO RR akan ditawarkan dalam jumlah terhad 100 unit bermula musim bunga 2026 melalui sistem undian aplikasi GR, dengan tambahan 100 unit lagi untuk pasaran Eropah terpilih.

Dengan latar belakang pembangunan berasaskan Nürburgring dan penglibatan terus Morizo, MORIZO RR bukan sekadar GR Yaris paling ekstrem, malah berpotensi menjadi model ikonik dalam sejarah Toyota Gazoo Racing.

Baca Juga : TOYOTA GAZOO Racing Perkenal Buat Pertama Kali Model GR GT & GR GT3

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi