Jenama Geometry mungkin nama yang asing bagi rakyat Malaysia, namun tahukah anda ia merupakan sub-jenama bagi syarikat Geely yang merupakan pemegang saham terbesar bagi syarikat Proton.
Melihat kepada rupa paras Panda Knight, ia memang seakan-akan seperti beruang panda dengan reka bentuk yang mengembang dan mata utama berbentuk bulat, sama seperti mata panda. Perbezaan antara model ini dan model standard (Geely Panda) terletak pada bahagian kosmetiknya
Panda Knight berukuran 3,135mm dari depan ke belakang dengan lebar 1,565mm beserta tinggi 1,655mm dengan jarak roda sepanjang 2,015mm, agak kecil berbanding saiz kereta yang biasa kita lihat di jalan raya.
Namun, saiz yang kecil ini masih mampu memuatkan sehingga empat orang penumpang dengan ruang simpan sehingga 800 liter jika dilipat tempat duduk belakang.
Panda Knight turut dipasangkan rel bumbung, tempat pemijak sisi, pemegang bonet hadapan dan juga cangkuk pemulihan. Kesemua komponen tersebut diwarnakan hijau limau sesuai dengan warna utama model ini.
Pada bahagian tayar, ia dilengkapi dengan rim lima jejari bersaiz 155/65-14 sama seperti model Panda Mini dengan jarak legaan bumi yang hampir sama dengan model asal. Antara perubahan ketara yang lain ialah reka bentuk hadapan yang menggunakan lampu LED berbentuk bulat, diintegrasikan dalam ruang jeriji yang besar.
Selain itu, Geometry turut menambah bampar ala off-road dengan fender yang dilebarkan, ini menjadikan rupa paras Panda Knight sentiasa bersedia untuk takluki pelbagai jenis jalan raya.
Pada bahagian dalaman, Panda Knight dipadankan dengan skrin sentuh seluas lapan inci beserta skrin kluster digital bersaiz 9.2 inci. Sistem pendingin hawa turut diberi kombinasi warna baharu dan corak spesifik pada upholsteri kulit palsu di bahagian tempat duduk.
Menggunakan motor elektrik tunggal, Panda Knight mampu menghasilkan kuasa sehingga 40 HP dan daya kilas 110 Nm, manakala pek bateri menggunakan lithium iron phosphate berkapasiti 17.03 kWh.
Dengan pengecasan penuh, model ini boleh bergerak sejauh 200km berdasarkan data dari China Light-Duty Test Cycle (CLTC). Model EV ini akan dilancarkan secara rasmi di pasaran China pada September 2023, dengan harga jualan dianggarkan lebih tinggi dari model Panda Mini.
Sebagai bayangan, Geely Panda Mini dijual pada harga bermula RM25,462 sehingga RM36,310 untuk varian tertinggi. Wow!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.