Lando Norris mendominasi Grand Prix Singapura dengan gaya memukau, mengubah kedudukan pole position menjadi kemenangan cemerlang.
Pada malam perlumbaan penuh aksi itu, Norris berjaya memimpin dari awal hingga akhir. Menamatkan perlumbaan 20 saat di hadapan Max Verstappen, sekaligus mengurangkan lagi jurang mata kejuaraan dengan pendahulu Red Bull itu.
Selepas beberapa kali mengalami permulaan yang kurang baik, Norris kali ini mengekalkan kedudukan pendahulu sebaik lampu hijau menyala.
Di selekoh pertama, dia berjaya melepasi Verstappen dan mula mengawal rentak perlumbaan. Sepanjang perlumbaan, Norris jelas berada dalam kelas tersendiri, walaupun sempat beberapa kali hampir terlanggar dinding.
Verstappen yang tidak mampu menyaingi kepantasan Norris terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kedua. Rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri, mencatatkan keputusan memberangsangkan dengan menduduki tempat ketiga selepas bermula di tempat kelima.
Keputusan kurang baik Sergio Perez pula menyaksikan McLaren terus mengukuhkan kedudukan dalam kejuaraan pengeluar, semakin jauh meninggalkan Red Bull.
Piastri menggunakan strategi yang berbeza dengan kekal di atas litar lebih lama pada stint pertama. Sebelum menukar kepada tayar lebih segar dan memotong pasangan Mercedes, Lewis Hamilton dan George Russell.
Charles Leclerc cuba meniru strategi itu di penghujung perlumbaan, tetapi hanya berjaya memintas Hamilton sebelum terperangkap di belakang Russell hingga penamat. Menyebabkan pemandu Ferrari itu berada di antara dua pemandu Mercedes.
Carlos Sainz pula bangkit dari insiden kelayakan dan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
Fernando Alonso menyumbang mata untuk Aston Martin dengan menduduki tempat kelapan. Sementara Nico Hulkenberg dari Haas meraih kedudukan kesembilan. Sergio Perez, walaupun terkeluar awal semasa sesi kelayakan, berjaya melengkapkan senarai 10 teratas.
Franco Colapinto mengekalkan prestasi konsisten dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-11, hanya beberapa saat di belakang Perez. Diikuti oleh Yuki Tsunoda dari RB dan Esteban Ocon dari Alpine. Pemandu Aston Martin, Lance Stroll, melengkapkan kedudukan ke-14.
Pelumba Sauber, Zhou Guanyu dan Valtteri Bottas masing-masing menduduki tempat ke-15 dan ke-16.
Sementara Daniel Ricciardo dari RB mencatatkan pusingan terpantas setelah bertukar ke tayar lembut pada penghujung perlumbaan.
Alex Albon dari Williams mengalami masalah pada awal perlumbaan dan terpaksa bersara akibat kereta mengalami kepanasan melampau.
Disertai Kevin Magnussen dari Haas yang mengalami tayar pancit pada penghujung perlumbaan.
Dengan kemenangan ini, Norris berjaya memotong jurang mata kejuaraan dari 59 mata kepada 52 mata berbanding Verstappen. McLaren kini mempunyai kelebihan 41 mata dalam persaingan kejuaraan pengeluar, meninggalkan Red Bull di belakang.
“Itu perlumbaan yang luar biasa!” kata Norris selepas kemenangan. “Ada beberapa momen cemas, hampir tergelincir, tetapi saya rasa kami berjaya mengawal dengan baik. Kereta sangat hebat. Saya boleh memacu dengan laju sepanjang perlumbaan dan akhirnya saya dapat bersantai. Perlumbaan yang menyeronokkan!”
Perlumbaan seterusnya adalah Grand Prix Amerika Syarikat di Circuit of The Americas pada 18 hingga 20 Oktober.
Dari Formula One
Baca Juga Formula 1 Dutch Grand Prix – Cuti Musim Panas Tamat, Norris Tewaskan Verstappen
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.