Dua jenama gergasi dunia, Formula 1 dan LEGO Group, bakal mencetuskan fenomena baru dengan pengumuman kerjasama menarik yang akan bermula pada 2025.
Kerjasama ini akan menghasilkan rangkaian produk LEGO bertemakan Formula 1, yang direka untuk semua peringkat umur. Daripada set LEGO DUPLO untuk kanak-kanak prasekolah hinggalah ke set pembinaan kompleks untuk peminat dewasa.
Melalui rangkaian produk ini, dunia Formula 1 akan dihidupkan dalam bentuk LEGO dengan menampilkan pasukan F1 terkemuka.
Aktiviti tambahan seperti kandungan digital eksklusif dan zon peminat di acara Formula 1 sepanjang musim akan membawa pengalaman ini lebih dekat kepada peminat.
Malah, produk ini turut menonjolkan aspek kejuruteraan dan inovasi yang menjadi identiti sukan lumba ini.
Kerjasama ini bukan sekadar mencipta mainan; ia juga bertujuan mendekatkan peminat dengan teknologi dan inovasi Formula 1.
Aktiviti di lokasi perlumbaan akan menampilkan pengalaman langsung, di mana peminat dapat merasai keseronokan membina model LEGO yang diinspirasikan oleh kereta lumba sebenar.
Emily Prazer, “Bata LEGO telah menyemarakkan kreativiti dan semangat membina dalam jutaan kanak-kanak dan dewasa di seluruh dunia. Melalui kerjasama ini, peminat dapat mencipta dan menghayati dunia Formula 1 secara mendalam, bata demi bata.
Kami teruja membawa drama dan keterujaan Formula 1 kepada komuniti pembina LEGO yang penuh semangat.”
Bagi LEGO Group, ini bukanlah kali pertama mereka meneroka dunia Formula 1. Julia Goldin, Ketua Pegawai Produk dan Pemasaran LEGO Group, berkata, “Kami mempunyai sejarah yang membanggakan dalam menghasilkan model kereta F1 menggunakan LEGO.
Kerjasama baru ini akan membawa sukan ini lebih dekat kepada peminat melalui kreativiti dan imaginasi LEGO. Kami tidak sabar untuk memperkenalkan apa yang bakal hadir kepada peminat lama dan baru, di rumah mahupun di litar.”
Rangkaian LEGO ini dijangka menawarkan pelbagai set menarik. Termasuk model skala besar kereta F1 seperti LEGO Technic Ferrari SF-24 F1, Oracle Red Bull Racing RB20, dan banyak lagi.
Set ini bukan sahaja membolehkan anda membina model kereta lumba dengan ciri realistik seperti enjin V6 berfungsi, kotak gear dua kelajuan, dan spoiler DRS.
Tetapi juga memberikan peluang untuk mempelajari asas kejuruteraan dengan cara yang menyeronokkan.
Untuk kanak-kanak, set seperti LEGO City F1 Pit Stop & Crew bakal menjadi kegemaran baharu. Lengkap dengan kereta lumba Ferrari mainan dan pasukan pit untuk pengalaman bermain yang penuh aksi.
Aplikasi LEGO Builder turut disertakan untuk membantu peminat meneroka model mereka dalam 3D dan mengesan kemajuan pembinaan.
Dengan kombinasi LEGO dan Formula 1, peminat kini boleh membawa keterujaan litar lumba ke ruang tamu mereka sendiri! Mereka sudah mula boleh menempah model pra pelancaran seperti SF-24 di LEGO.com dengan tarikh penghantaran pada Mac 2025.
Dari LEGO
Baca Juga LEGO Technic Yamaha MT-10 SP
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.