Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel Kini di Malaysia

Share

Pelancaran Rasmi di Kuala Lumpur

Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, hari ini melancarkan Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel serba baharu di Heritage Valley Kuala Lumpur.

Dengan harga bermula RM192,888, trak pikap ini diangkat sebagai pilihan paling berkuasa dalam barisan Ranger.

Trak ini menyasarkan golongan kaki “offroad” dan peminat gaya hidup lasak yang mahukan prestasi, keselesaan dan teknologi terkini dalam satu pakej.

Enjin V6 Paling Berkuasa Dalam Segmennya

Ranger WildTrak serba baharu ini dikuasakan enjin turbo diesel 3.0L V6 yang menjana 250PS pada 3,250 rpm dan tork luar biasa 600Nm pada 1,750 rpm – angka tertinggi dalam segmennya.

Kuasa ini disalurkan menerusi transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacuan empat roda, menawarkan pemanduan lancar serta penuh keyakinan di atas jalan raya mahupun laluan lasak.

Model ini turut menawarkan enam mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand serta empat mod enjin lanjutan yang meningkatkan keupayaan serba guna, menjadikannya trak pikap versatil untuk pelbagai situasi.

Reka Bentuk Gagah dan Bergaya

Secara visual, Ford Ranger WildTrak V6 tampil dengan gaya lebih segar dan berotot.

Lampu depan Matriks LED Prestasi Tinggi dengan lampu siang berbentuk C-clamp memberi identiti moden, manakala rim aloi baharu bersaiz 20-inci dipadankan tayar 255/55 R20 menambah ketegasan gayanya.

Ciri tambahan seperti lambang V6 pada bahagian depan, cermin sisi boleh laras elektronik dengan lampu lumpur, serta tayar ganti bersaiz penuh meningkatkan lagi praktikaliti dan keselesaan pemilik.

Kabin Premium dengan Teknologi Pintar

Masuk ke dalam kabin, pemandu dan penumpang disambut dengan suasana moden dan praktikal. Antara kemudahan utama termasuk:

  • Skrin sentuh infohiburan 12 inci SYNC® 4A dengan Apple CarPlay® & Android Auto™ tanpa wayar.

  • Skrin TFT 8 inci untuk paparan maklumat pemanduan.

  • Pengecas tanpa wayar dan pangkalan USB pada skrin depan.

Semua ini digabungkan untuk memastikan pengalaman pemanduan lebih selesa, moden dan efisien.

Ciri Keselamatan Menyeluruh

Ranger WildTrak baharu hadir dengan sistem keselamatan komprehensif, termasuk:

  • Blind Spot Information System (BLIS)

  • Amaran Keluar Lorong & Bantuan Kekal Lorong

  • Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Stop & Go serta Lane Centering

  • Rear Cross Traffic Alert

  • Post-Collision Braking

Pilihan Warna dan Harga

Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Arctic White, Absolute Black, Luxe Yellow dan Meteor Grey.

Harga jualan rasmi adalah:

  • RM192,888 (Semenanjung Malaysia)

  • RM198,688 (Sabah & Sarawak)

Sebagai tawaran pelancaran, pelanggan awal akan menerima Pakej Servis Lanjutan 2 Tahun serta hadiah edisi terhad seperti beg pendingin dan kerusi perkhemahan eksklusif Ford.

Perkhidmatan Selepas Jualan Dipertingkat

Auto ConneXion-Ford turut memperluas khidmat selepas jualan dengan memperkenalkan Ford Mobile Service (FMS) di Ara Damansara dan Petaling Jaya, yang menawarkan servis terus ke lokasi pelanggan.

Selain itu, terdapat juga servis pengambilan dan penghantaran kenderaan serta Express Service di 15 pengedar rasmi seluruh negara, menjadikan penyelenggaraan lebih mudah dan pantas.

Kuasa V6 Terunggul

Dengan kombinasi kuasa V6 terunggul, reka bentuk gagah, kabin moden dan teknologi keselamatan tercanggih, Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel bukan sekadar sebuah trak pikap, tetapi simbol gaya hidup aktif dan premium.

Ia direka untuk mereka yang mahukan lebih daripada sekadar sebuah trak, ini adalah  sebuah kenderaan yang memberi keselesaan dan keseronokan dalam setiap pemanduan.

Baca Juga : Ford Perkenal Servis Mudah Alih Terus ke Lokasi Pelanggan

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi