Automotif

Feri Ikonik Pulau Pinang Menanti Takdir

Share

Nasib Feri Lama yang Semakin Usang

Enam buah feri ikonik yang pernah menjadi simbol perhubungan utama antara Pulau Pinang dan tanah besar kini berdepan risiko dilupuskan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menjelaskan bahawa keadaan struktur feri-feri ini semakin uzur dan tidak lagi sesuai untuk kegunaan pengangkutan.

“Saya difahamkan bahagian bawah feri tersebut sudah reput, kalau tak ada orang berminat untuk ambil alih, ia tidak boleh disimpan selamanya,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival UDA 2024@Penang di tapak parkir Gravitas Jalan Baru Prai, di sini, pada Ahad.

Kredit Foto : Awani

Peluang Pemuliharaan dan Kekangan Kos

Meskipun Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah membuka tender untuk cadangan mengubah suai kegunaan feri-feri ini, maklum balas yang diterima setakat ini belum mencukupi.

Chow menyebut bahawa dua daripada feri tersebut mungkin masih boleh diselamatkan—satu yang dimiliki oleh Ideal Property dan satu lagi yang dirancang untuk dijadikan muzium di Tanjung Marina.

Namun, Chow berkata, “SPPP banyak menerima cadangan agar ia kekal digunakan tetapi setelah meneliti kos, bukan senang untuk mengekalkan feri bagi kegunaan perkhidmatan pengangkutan awam tetapi kalau kegunaan lain boleh dipertimbang.”

Kredit Foto : Website Suara Keadilan

Keputusan Pelupusan dan Insiden Terkini

Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin, menegaskan bahawa pihaknya memutuskan untuk melupuskan feri-feri ini dengan kadar segera kerana kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilaksana susulan pereputan yang serius dan tidak boleh diapungkan.

Ini termasuk insiden terbaru di mana Feri Pulau Kapas karam akibat kebocoran yang tidak dapat diperbaiki.

SPPP telah memajak feri ikonik kepada beberapa syarikat yang layak untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021 namun hasrat menjadikan Feri Pulau Kapas sebagai restoran terapung gagal direalisasi susulan ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian dan pajakan ditamatkan pada Februari 2023.

Kredit Foto : Website Awani

Penutupan Lembaran Sejarah Maritim Pulau Pinang

Perkhidmatan feri ikonik ini telah dihentikan pada tahun 2020 setelah lebih 126 tahun beroperasi, digantikan oleh bot laju untuk penumpang individu serta feri khusus untuk motosikal dan basikal.

Penutupan perkhidmatan feri ini menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah maritim Pulau Pinang, yang penuh dengan nostalgia dan kenangan bagi penduduk tempatan dan pengunjung.

Sumber Artikel : Awani

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi