Automotif

FedEx Express Rentas Sempadan Negara Dengan Kenderaan Elektrik

Share

FedEx Express, syarikat pengangkutan ekspres terbesar di dunia, mencatatkan sejarah baru dengan melaksanakan penghantaran pakej rentas sempadan pertama dari Malaysia ke Singapura menggunakan kenderaan elektrik (EV).

Percubaan ini telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records untuk “Penghantaran Rentas Sempadan Sifar Pelepasan Pertama” dan seterusnya menggariskan matlamat syarikat untuk mencapai operasi neutral karbon menjelang 2040.

Pada 27 Februari 2024, perjalanan sejauh 406 kilometer itu bermula dari stesen FedEx di Shah Alam dan berakhir di kemudahan FedEx di Lapangan Terbang Changi, Singapura. Keseluruhan perjalanan hanya memerlukan sekali pengecasan di Johor, menunjukkan pengurangan kira-kira 100 kilogram pelepasan CO2 berbanding dengan van diesel.

Kredit: Autoworld.com.my

Tien Long Woon, Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, menyatakan, “Rekod ini mencerminkan cita-cita kami untuk menjadi perintis dalam pengurusan alam sekitar dan komitmen kami untuk menerajui pembangunan penyelesaian logistik yang mesra alam. Penyepaduan EV ke dalam operasi kami akan membantu memenuhi pilihan pelanggan kami yang sentiasa berubah.”

FedEx menggunakan pengalaman dari percubaan ini untuk menilai keberkesanan operasi rentas sempadan masa hadapan. Ini penting untuk membentuk masa depan operasinya, memberikan manfaat kepada alam sekitar dan meningkatkan kecekapan syarikat.

Selain daripada elektrifikasi kenderaan, FedEx juga mempunyai pendekatan yang disesuaikan untuk pengurusan sumber yang cekap dan bertanggungjawab bagi operasi udara dan daratnya. Ia sebahagian daripada strategi kemampanan FedEx, yang berfokus pada tiga R: Reduce, Replace, Revolutionize.

Kredit: FedEx

Inisiatif khusus termasuk penjimatan bahan api, pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, dan pelaksanaan penyelesaian pembungkusan yang mampan. FedEx juga memperkenalkan alat laporan pelepasan karbon, FedEx® Sustainability Insights, memberikan pelanggan akses kepada maklumat pelepasan karbon melalui penghantaran mereka dalam rangkaian FedEx.

Pelanggan FedEx juga boleh menggunakan data ini untuk membuat keputusan mengenai strategi penghantaran masa depan mereka untuk mengurangkan kesan mereka kepada alam sekitar. Dengan usaha ini, FedEx terus bergerak ke hadapan dalam menyokong pengangkutan yang lebih lestari dan berkesan.

Baca: MG Motor Lancar Model Hatchback Elektrik Ke Pasaran Malaysia – MG4

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan