Nama Ducati sinonim dengan dunia perlumbaan motosikal berprestasi tinggi. Kali ini, pengeluar Itali itu sekali lagi mencipta sejarah apabila memperkenalkan prototaip Ducati V21L MotoE yang dikuasakan bateri solid-state lithium-metal pertama hasil kerjasama dengan QuantumScape dan PowerCo.
Menariknya, projek ini sebenarnya adalah sebahagian daripada rancangan besar Volkswagen Group untuk membangunkan bateri solid-state sebagai masa depan kenderaan elektrik (EV). Audi, Ducati, PowerCo dan QuantumScape bergabung tenaga menjadikan motosikal lumba sebagai “makmal bergerak” untuk teknologi baharu ini.
Ducati V21L bukan calang-calang jentera. Dengan kuasa 150hp dan kelajuan maksimum 273 km/j (170 mph) yang sudah diuji di Litar Mugello, kemasukan bateri solid-state menjanjikan prestasi lebih konsisten. Bateri baharu ini lebih ringan, mempunyai sistem penyejukan tersendiri, serta mampu dicas 10–80% hanya dalam 12 minit.
Tidak seperti bateri konvensional yang menggunakan elektrolit cecair, bateri solid-state menggunakan elektrolit pepejal bersama lithium-metal. Ini menjadikannya:
Lebih selamat dan kurang risiko terbakar.
Lebih pantas dicas dengan kadar pengecasan tinggi.
Lebih padat tenaga – simpanan kuasa lebih besar dalam saiz yang lebih kecil.
Jangka hayat lebih lama kerana sel tidak cepat merosot.
Untuk Ducati V21L, pek bateri terdiri daripada 980 sel QSE-5 QuantumScape, menggantikan bateri asal 18kWh dengan 1,152 sel silinder.
CEO QuantumScape, Siva Sivaram berkata:
“Hari ini kami sudah melangkah dari kemungkinan kepada realiti. Kerjasama dengan Ducati membolehkan teknologi ini dibuktikan di dunia sebenar, sebelum ia berskala besar di kilang.”
Walaupun prototaip ini khusus untuk ujian lumba, langkah Ducati membuktikan bahawa motosikal juga bakal menerima manfaat besar apabila bateri solid-state mula dikomersialkan. Volkswagen melalui PowerCo merancang menghasilkan versi komersial menjelang akhir dekad ini dan besar kemungkinan kereta akan menjadi platform utama terlebih dahulu.
Namun, pemilihan Ducati sebagai pelopor jelas menunjukkan motosikal berprestasi tinggi tidak akan ketinggalan dalam revolusi elektrifikasi.
Baca Juga : Ducati ‘Hidupkan’ Semangat Renaissance, Marc Márquez Takluk Mugello
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.