Ducati dan Lamborghini melahirkan satu lagi karya agung khas untuk penggemar jentera berprestasi tinggi, Ducati Panigale V4 Lamborghini.
Selepas kejayaan kolaborasi Streetfighter V4 Lamborghini dan Diavel 1260 Lamborghini, edisi ketiga ini tampil sebagai simbol kejuruteraan dan seni reka Itali yang tidak dapat ditandingi.
Panigale V4 Lamborghini adalah hasil inspirasi terus daripada Lamborghini Revuelto.
Supercar hibrid HPEV (High Performance Electrified Vehicle) pertama Automobili Lamborghini ini menghasilkan kuasa gabungan 1,015 hp melalui enjin V12 baharu serta tiga motor elektrik berprestasi tinggi.
Jentera dua roda ini pula dibina berasaskan Panigale V4 S (superbike terkini Ducati) dan telah melalui modifikasi eksklusif oleh pasukan Centro Stile Ducati bersama Centro Stile Lamborghini.
Setiap elemen visual Panigale V4 Lamborghini menyampaikan mesej yang unik dan ketelitian.
Roda aloi direka khas dengan gaya yang sama seperti rim Lamborghini Revuelto.
Reka bentuk ekor dan sayap pula diolah semula agar menyamai garis aerodinamik supercar dari Sant’Agata Bolognese itu.
Livery motor ini menggunakan asas gentian karbon dengan tekstur yang ketara, diserikan oleh warna Verde Scandal, Grigio Telesto dan Grigio Acheso.
Tempat duduk pula diinspirasikan daripada kabin dalaman Revuelto, memperlihatkan keselarasan yang menawan antara jentera dua roda dan empat roda.
Baca Juga : Ducati Panigale Tricolore Italia – Hiper-terhad Unit Sedunia!
Dikuasakan enjin Desmosedici Stradale V4 berkapasiti 1,103 cc, Panigale V4 Lamborghini menghasilkan kuasa maksimum 218.5 hp pada 13,500 rpm dan tork setinggi 122.1 Nm pada 11,250 rpm.
Dengan penggunaan komponen gentian karbon – termasuk pelindung haba, pelindung tumit, dan mudguard – serta sistem ekzos titanium Akrapovič, berat keseluruhan motosikal ini dapat dikurangkan kepada 185 kg sahaja.
Secara tidak langsung ia menjadikan model ini paling ringan dan paling berkuasa dalam keluarga Panigale V4, dengan nisbah kuasa-ke-berat mencecah 1.18 hp/kg.
Jentera ini turut dilengkapi dengan klac kering, “padle” kaki boleh laras, tuil brek dan klac, serta pemberat pemegang – semuanya diperbuat daripada aluminium tempaan.
Bagi pemilik yang ingin membawa motor ini ke litar, Ducati menyediakan penutup klac terbuka, penutup tangki bahan api aluminium untuk perlumbaan.
Turut disertakan juga “tools” untuk menanggalkan pemegang nombor pendaftaran , dan pengalir udara brek – semuanya dalam pakej yang serasi dengan rupa motor.
Tambahan lagi, setiap Panigale V4 Lamborghini memiliki kluster meter istimewa dengan animasi model dan nombor unit semasa dihidupkan, serta plat aluminium dengan nombor yang sama terukir pada kunci penyalaan.
Daripada 630 unit Panigale V4 Lamborghini, Ducati turut menawarkan versi eksklusif “Speciale Clienti” khas untuk 63 pemilik Lamborghini.
Pemilik diberi peluang untuk menyelaraskan skema warna motor dengan Lamborghini mereka.
Pemilik juga boleh memilih rekaan yang disediakan oleh Centro Stile Ducati.
Ukiran khas pada fork tripel dan “padle” belakang juga boleh disesuaikan mengikut tema warna motor, menjadikan setiap unit benar-benar unik.
Tambahan lagi, Ducati menyediakan set pakaian lengkap topi keledar, jaket dan sut kulit yang serasi dengan livery motor.
Setiap motor akan dihantar dalam peti kayu khas yang direka selaras dengan rupa luarannya dan lengkap dengan sarung pelindung.
Pembeli juga menerima sijil ketulenan serta kotak komponen tambahan yang diperibadikan.
Enjin: Desmosedici Stradale V4, 1,103 cc
Kuasa Maksimum: 218.5 hp @ 13,500 rpm
Tork Maksimum: 122.1 Nm @ 11,250 rpm
Berat Tanpa Bahan Api: 185 kg
Nisbah Kuasa-Ke-Beratan: 1.18 hp/kg
Tangki Bahan Api Aluminium: 17 liter
Suspensi: Öhlins Smart EC 3.0 – Fork NPX-30, penyerap hentak TTX 36, dan pelaras stereng
Komponen Gentian Karbon: Mudguard, penutup rantai, pelindung ekzos, penutup alternator, dan banyak lagi
Reka Bentuk & Warna: Carbon fiber exposed dengan Verde Scandal, Grigio Telesto & Grigio Acheso
Aksesori Tambahan: Penutup klac terbuka, penutup tangki aluminium, pelindung brek, kit penanggal nombor plat (untuk litar sahaja)
Panigale V4 Lamborghini muncul sebagai salah satu jentera dua roda paling mengagumkan pernah dihasilkan.
Penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula September 2025.
Bagi peminat jentera yang mementingkan keunikan, prestij dan warisan automotif Itali, inilah mahakarya yang wajib dimiliki.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.