Automotif

Diavel V4, Motosikal Edisi Terhad Gabungkan Rekaan Ducati & Bentley

Share

Apabila membicarakan tentang Bentley, pastinya kita akan terus membayangkan sesuatu yang elegan, mewah dan penuh dengan simbol kemewahan.

Jenama British ini adalah antara jenama yang paling mewah dalam dunia automotif dan pada masa yang sama hadir dengan teknologi dan prestasi yang mengagumkan.

Mungkin kerana karakteristik inilah Ducati memutuskan untuk bekerjasama dengan Bentley untuk menghasilkan sebuah motosikal terhad yang sangat elegan.

Melihat pada pandangan kasar, Ducati dan Bentley tidak kelihatan mempunyai banyak persamaan. Bentley mewakili kecantikan dan kemewahan, dan Ducati adalah mengenai prestasi, dan kuasa luar biasa.

Oleh itu, adalah menarik untuk melihat Ducati mengambil pendekatan di luar jangkaan apabila bekerjasama dengan bentley untuk menghasilkan Ducati Diavel edisi terhad. Dengan menggunakan motif bewarna hijau gelap dan “silver machine elements” amat sepadan digunakan pada Diavel edisi terhad ini dengan memberikan penampilan cruiser berkuasa V4 ini sesuatu yang menyegarkan dan berkelas.

Ducati Diavel untuk Bentley digambarkan sebagai satu gabungan kemahiran seni Bentley dan kecanggihan teknologi Ducati. Kita semua kenal dengan Ducati Diavel, dan dalam iterasi V4 terbarunya, ia menetapkan standard untuk cruiser yang berorientasikan prestasi.

Walaupun begitu, daripada segi Bentley, kita melihat gaya yang terinspirasi oleh Bentley Batur 2024, sebuah coupe grand-touring yang tampil dengan kemewahannya. Dikuasakan oleh enjin W-12 utama Bentley, Batur menghasilkan kuasa sebanyak 740 kuasa kuda dan menandakan bahawa ia memiliki kedua-duanya iaitu prestasi dan gaya.

Ducati Diavel pula dikuasakan oleh enjin V4 sejukan cecair berkapasiti 1,158cc, dengan kuasa 168 kuasa kuda lebih tinggi daripada mana-mana cruiser lain. Walaupun Batur terhad kepada hanya 18 unit di seluruh dunia, Diavel untuk Bentley akan mempunyai jumlah pengeluaran yang lebih tinggi iaitu 500 unit. Selain itu, terdapat 50 varian “Mulliner” tambahan yang dihasilkan untuk sepadan dengan Batur yang baru.

Daripada segi gaya, Ducati Diavel untuk Bentley direka oleh Centro Stile Ducati dan Bentley, dan mempunyai garisan yang licin dengan “forged wheel” yang dilapisi dengan titanium saten darts.

“Scarab green dye” daripada Bentley Mulliner sangat sesuai dengan reka bentuk Diavel dan aksen merah pada gril dan tempat duduk menambahkan sentuhan “sporty”. Logo Bentley juga sangat menonjol pada tempat duduk Alcantara hitam dan merupakan satu persamaan kepada reka bentuk dalaman yang mewah kereta Bentley.

Setiap satu daripada 500 unit Ducati Diavel untuk Bentley akan disertakan dengan sijil keaslian, tempat duduk penumpang, penutup motosikal sepadan, dan kotak kayu peribadi. Model dan nombor pengeluaran setiap motosikal juga akan dipaparkan pada plat untuk pemilik memaparkannya dalam koleksi mereka.

Satu koleksi kapsul yang terdiri daripada topi keledar dan jaket dengan warna yang sepadan dengan motosikal menambahkan sentuhan fesyen kepada model edisi terhad ini.

Anggaran harga untuk pasaran US adalah RM 327,740 dan jika anda berminat boleh menghubungi pengedar Ducati terdekat untuk mencuba dan mendapatkan tempat untuk model edisi terhad ini.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

 

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi