Boon Siew Honda (BSH) baru sahaja melancarkan model motosikal adventure rally terbaru mereka – CRF250 Rally 2024.
Motosikal ini merupakan model 250cc yang direka khusus untuk kegunaan off-road, dengan harga jualan bermula dari RM28,599 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).
CRF250 Rally 2024 dilengkapi dengan enjin 250cc DOHC empat lejang sejukkan cecair. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa output maksimum sehingga 24hp pada 9,000 rpm dan tork maksimum 23Nm pada 6,500 rpm.
Enjin ini menawarkan prestasi yang mantap dan responsif, sesuai untuk pelbagai keadaan permukaan jalan yang mencabar.
Motosikal ini di inspirasikan daripada model ikonik Honda Racing Corporation (HRC) CRF450 Rally Dakar. Model yang dikenali dengan ketahanannya dalam perlumbaan rally ekstrem.
DNA pengayaan yang sama diterapkan pada CRF250 Rally. Menjadikannya pilihan yang ideal untuk penggemar off-road dan rally.
CRF250 Rally 2024 menampilkan pelbagai ciri canggih yang meningkatkan keselamatan dan keselesaan penunggang. Antaranya adalah unit pencahayaan lampu hadapan LED berkembar asimetri yang memberikan penglihatan yang lebih baik pada waktu malam.
Motosikal ini juga dilengkapi dengan floating windscreen yang mengurangkan tekanan angin, serta unit fork hadapan SHOWA jenis USD (upside-down) yang memberikan kestabilan tambahan ketika menunggang di permukaan yang tidak rata.
Sistem ABS dua saluran pada CRF250 Rally memastikan keselamatan maksimum dengan memberikan brek yang lebih terkawal dan mengurangkan risiko tergelincir.
Selain itu, motosikal ini juga mempunyai klac assist dan slipperTM dengan enam kelajuan, yang memudahkan penunggang untuk menukar gear dengan lebih lancar dan mengurangkan beban pada enjin.
Rangka motosikal ini menggunakan jenis Steel Semi-Double Cradle. Ia menawarkan kekuatan dan kestabilan yang tinggi. Ketinggian tempat duduk adalah pada 885mm dan ground clearance pada 275mm.
Memberikan penunggang posisi menunggang yang lebih tinggi dan pandangan yang lebih luas. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 153kg. Cukup ringan untuk memberikan kawalan yang baik di jalan yang mencabar.
CRF250 Rally juga menampilkan swing arm ringan yang mengurangkan berat motosikal sehingga 5kg. Tangki bahan api dengan kapasiti 12.8 liter memastikan penunggang boleh menunggang lebih jauh tanpa perlu kerap berhenti untuk mengisi minyak.
Pada roda hadapan, CRF250 Rally menggunakan tayar bersaiz 80/100 – 21M/C (51P) manakala pada bahagian belakang, ia menggunakan tayar bersaiz 120/80 – 18M/C (62P).
BSH mengumumkan bahawa Honda CRF250 Rally akan mula dipamerkan di pengedar Honda Big Wing bermula 16 Julai 2024. Motosikal ini hanya didapati dalam warna Extreme Red sahaja buat masa ini.
Untuk setiap pembelian, BSH menawarkan waranti selama dua tahun atau 20,000km perbatuan, mengikut mana-mana yang sampai dahulu.
Waranti ini memberikan ketenangan fikiran kepada pembeli, memastikan mereka dapat menikmati pengalaman menunggang tanpa kebimbangan tentang kos penyelenggaraan yang tinggi.
Dengan segala ciri canggih dan reka bentuk yang tahan lasak, Honda CRF250 Rally 2024 pasti akan menjadi pilihan utama bagi penggemar motosikal off-road dan adventure rally di Malaysia.
Dari Careta
Baca Boon Siew Honda Bawa Masuk Empat Model Ke Pasaran Tempatan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.