Industri automotif di Malaysia kini berada di ambang transformasi yang lebih mampan dengan pengumuman kerjasama strategik antara Continental Tyre Malaysia dan empat akademi automotif terkemuka.
Keempat-empat akademia tersebut adalah Leng Kee Auto Academy, Pro Skills Academy, Rimbunan Hijau Academy, serta Techtra Automotive Academy.
Usaha ini bertujuan memperkukuh penempatan bakat serta menangani cabaran pengambilan tenaga kerja dalam industri yang sentiasa berkembang.
Melalui program ini, pelajar akademi akan mendapat pendedahan secara langsung kepada persekitaran kerja sebenar dalam rangkaian kedai tayar Continental.
Latihan yang disediakan bukan sahaja membekalkan kemahiran asas tetapi turut meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan.
Sebagai pengeluar tayar pertama yang menjalinkan kerjasama dengan akademi automotif tempatan, Continental Tyre Malaysia memperluaskan prospek kerjaya pelajar melampaui penempatan tradisional di pusat servis pengeluar kenderaan.
Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan tenaga kerja masa hadapan lebih bersedia dan berdaya saing dalam industri automotif yang dinamik.
Menurut Puan Andrea Somorova, Pengarah Urusan Continental Tyre PJ Malaysia Sdn Bhd, kerjasama ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat dalam pembangunan tenaga kerja mahir.
“Kerjasama ini mengukuhkan komitmen strategik kami terhadap pembangunan bakat dan kemampanan industri. Menerusi usaha ini, kami bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi tetapi juga mewujudkan peluang kerjaya yang lebih kukuh bagi generasi akan datang.”
Di pihak akademi pula, langkah ini disambut baik sebagai satu usaha positif dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang relevan.
Encik Kek, Pengasas dan Pengetua Leng Kee Auto Academy, menekankan kepentingan pengalaman dunia sebenar dalam membentuk graduan yang lebih bersedia untuk industri.
“Pelajar-pelajar kami akan memperoleh akses yang lebih luas kepada pengalaman pembelajaran di dunia sebenar, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan untuk beralih daripada pendidikan ke alam pekerjaan dengan lebih lancar.”
Sementara itu, En. Yang, Pengerusi Pro Skills Academy, menekankan bahawa penyesuaian kursus mengikut keperluan industri akan meningkatkan kebolehpasaran pelajar.
“Dengan menyelaraskan kursus kami mengikut keperluan industri, saya yakin pertumbuhan pembelajaran pelajar kami akan meningkatkan kebolehpasaran mereka, sekaligus membekalkan mereka dengan kemahiran yang lebih praktikal dan berharga.”
Bagi Puan Sarah Tiong, Pengarah Rimbunan Hijau Academy, kerjasama ini menjadi platform penting dalam memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah.
“Bekerjasama dengan Continental menyediakan platform bagi pelajar kami untuk menerima latihan yang bersesuaian dengan tuntutan pekerjaan semasa.”
Sementara itu, Encik Fong, Pengarah Techtra Automotive Academy, menegaskan pentingnya pendedahan industri kepada pelajar.
“Kami berusaha untuk menawarkan pendedahan industri yang lebih meluas serta latihan praktikal kepada pelajar, memaksimumkan penglibatan mereka dalam salah satu sektor utama industri automotif.”
Antara elemen utama kerjasama ini ialah program latihan silang yang menghubungkan pakar Continental dengan akademi automotif.
Latihan ini merangkumi pelbagai aspek penting seperti peningkatan kemahiran teknikal kakitangan.
Selain itu ia juga kemahiran dalam penyelenggaraan kenderaan, dan pemahaman mendalam tentang teknologi terkini termasuk kenderaan elektrik (EV) turut dipertingkatkan.
Melalui inisiatif ini, pelajar akan memperoleh kepakaran teknikal yang relevan.
Kepakaran ini penting untuk membina kerjaya yang lebih dinamik dan kompetitif dalam landskap automotif yang kian berkembang pesat.
Langkah ini juga sejajar dengan matlamat industri untuk mewujudkan tenaga kerja yang lebih bersedia dan mampu memenuhi tuntutan pasaran kerja moden.
Kerjasama antara Continental Tyre Malaysia dan institusi akademik ini dapat memperkukuh hubungan industri dan pendidikan.
Selain itu ia berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan tenaga kerja yang lebih mantap.
Dengan sokongan program latihan dan pemindahan ilmu, usaha ini dijangka akan memberikan impak positif kepada sektor automotif tempatan dalam jangka panjang.
Disampin itu ia dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri yang lebih mapan dan lestari.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : BYD SEAL Performance Day – Pemanduan Dinamik Mobiliti Elektrik