Malaysia dipilih sebagai lokasi pelancaran antarabangsa pertama bagi BYD SEAL 6 EV, sedan elektrik segmen-C terbaharu yang diperkenalkan oleh BYD Sime Motors. Kehadiran model ini bukan sekadar melengkapkan barisan produk BYD, sebaliknya menjadi penanda aras baharu dalam landskap sedan elektrik di pasaran tempatan.
SEAL 6 EV dibangunkan dengan kombinasi keselesaan premium, kejuruteraan terkini dan gaya moden. Lebih menarik, ia merupakan model pertama BYD yang hadir dengan sistem suspensi baharu Dual Ball-joint MacPherson Strut bersama suspensi belakang Rear Multi-Link. Tambahan pula, ia dilengkapi pacuan roda belakang (RWD), satu ciri yang jarang ditawarkan dalam segmennya.
Dengan badan terbesar dalam kelas sedan segmen-C di Malaysia, jejari pusingan hanya 5.5 meter serta 24 ruang simpanan pintar, SEAL 6 EV direka bukan sahaja untuk gaya tetapi juga praktikaliti harian.
Di bawah bonet, SEAL 6 EV menawarkan output 160 kW (214 hp) dengan tork 330 Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam 7.5 saat. Pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan mengikut keperluan, sama ada untuk keselesaan di bandar atau kawalan dinamik di lebuh raya.
Menurut Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara:
“BYD SEAL 6 EV menetapkan penanda aras baharu bagi sedan elektrik di Malaysia yang menggabungkan reka bentuk menarik, inovasi moden dan kepraktisan untuk kegunaan harian. Dengan rangkaian cawangan kami yang semakin meluas, kami yakin model ini akan mempercepatkan penerimaan pengangkutan elektrik di negara ini.”
Sementara itu, Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia menegaskan:
“BYD SEAL 6 EV direka untuk menjadi pilihan mampu milik tanpa mengorbankan teknologi pintar dan jarak gerak yang jauh. Ia adalah keseimbangan antara nilai dan inovasi yang mampu menarik lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada EV.”
BYD SEAL 6 EV hadir dalam dua pilihan:
Dinamik – RM100,000
Premium – RM115,800
Pilihan warna termasuk Arctic White, Harbour Grey dan Misty Blue, dengan kemasan dalaman gabungan hitam dan kelabu.
Bagi 800 pelanggan pertama, Sime Motors menawarkan pakej eksklusif bernilai sehingga RM6,000:
Pengecas dinding percuma bernilai RM3,288
Rebat tunai sehingga RM3,000 atau Pakej Sime Platinum 4+ untuk penghuni kediaman bertingkat (pengecasan pintu ke pintu, cucian kereta dan servis penyelamat EV)
Selain itu, setiap pembelian disertakan dengan:
Penyesuai V2L
Kabel pengecas Type 2 dengan plag 3-pin
Waranti komprehensif: 6 tahun/150,000 km untuk kenderaan, 8 tahun/160,000 km untuk unit pacuan dan bateri bilah voltan tinggi.
Sejak memasuki pasaran Malaysia, BYD Sime Motors telah mencatat jualan lebih 20,000 unit
dengan 37 cawangan yang beroperasi kini. Syarikat ini menyasarkan untuk mencapai 50 cawangan menjelang 2026, bagi memastikan pelanggan mendapat akses mudah kepada jualan, servis dan penyelesaian pengecasan.Pelancaran BYD SEAL 6 EV jelas menunjukkan komitmen BYD dalam mendorong transformasi mobiliti bersih, pintar dan mampan di Malaysia sekaligus membuka lembaran baharu untuk sedan elektrik segmen-C di negara ini.
Baca Juga : BYD Sime Motors Perkukuh Kedudukan di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.