Automotif

BYD Perkukuh Ekosistem EV di Malaysia, Lebih 40 Bilik Pameran dan 34 Pusat Servis Menjelang 2026

Share

Rangkaian BYD Terus Berkembang di Seluruh Negara

Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD, terus memperkukuh kehadirannya di Malaysia menerusi peluasan rangkaian jualan dan selepas jualan yang semakin agresif.

Melalui pengedar rasmi tempatan, BYD Sime Motors, jenama ini kini mempunyai lebih 40 bilik pameran di seluruh negara, sekali gus memudahkan rakyat Malaysia mengakses teknologi mobiliti EV yang semakin mendapat perhatian.

Pada masa sama, BYD turut mempertingkatkan sokongan selepas jualan dengan sasaran menyediakan 34 pusat servis menjelang 2026, termasuk sembilan kemudahan servis baharu yang yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Strategi pembukaan rangkaian BYD tidak hanya tertumpu di kawasan bandar utama, sebaliknya turut menembusi bandar sekunder bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada pelanggan.

Di wilayah selatan, BYD telah membuka bilik pameran baharu di Muar dan Kluang, sekali gus mengukuhkan kehadiran jenama tersebut di Johor.

Di Pantai Timur pula, pembukaan BYD Kuala Terengganu melengkapkan rangkaian sedia ada seperti BYD Kuantan

dan BYD Kota Bharu, sejajar dengan peningkatan minat terhadap EV di kawasan tersebut.

Rangkaian BYD di Utara

Bahagian utara semenanjung Malaysia juga turut menyaksikan perkembangan ketara menerusi pembukaan BYD Sungai Petani, BYD Juru, serta pusat 3S baharu di BYD Ipoh.

Kemudahan di Ipoh ini menjadi lebih signifikan apabila ia turut menempatkan hab pengecas EV pertama di bandar tersebut.

Hab ini dilengkapi pengecas pantas DC berkuasa 240 kW dan 180 kW, membolehkan proses pengecasan dilakukan dengan lebih pantas dan efisien, sekali gus meningkatkan tahap keyakinan pemilik EV di kawasan berkenaan.

Konsep 3S Premium di Lembah Klang

Di Lembah Klang, BYD turut memperkenalkan Pusat 3S BYD Sri Hartamas yang menempatkan jualan, servis dan alat ganti di bawah satu bumbung. Menariknya, lokasi ini terletak di dalam pusat beli-belah, menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelanggan yang ingin menggabungkan urusan servis kenderaan dengan aktiviti harian.

Selain itu, rangkaian BYD juga disokong oleh 12 Pusat Baik Pulih dan Cat Badan, dengan lebih banyak kemudahan serupa dijangka akan diperkenalkan dalam masa terdekat bagi memastikan sokongan pemilikan jangka panjang kepada pelanggan.

Prestasi Jualan BYD Semakin Kukuh

Pertumbuhan rangkaian ini turut selari dengan prestasi jualan BYD yang semakin memberangsangkan di Malaysia.

Sebagai jenama EV bateri (BEV) nombor satu negara selama tiga tahun berturut-turut, BYD mencatatkan 14,407 unit kenderaan diserahkan pada tahun 2025

, meningkat 68% berbanding tahun sebelumnya.

Lebih menarik, jenama ini berjaya memperoleh 10,000 pelanggan pertama dalam tempoh 20 bulan, sebelum menambah 10,000 pelanggan seterusnya hanya dalam masa 13 bulan.

Hasil momentum tersebut, BYD melonjak daripada kedudukan dalam kelompok 10 jenama terlaris pada 2024 kepada jenama keenam terlaris di Malaysia pada 2025, serta jenama bukan nasional keempat terlaris di negara ini.

Sasaran 30,000 Pelanggan Menjelang 2026

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao, menjelaskan bahawa pencapaian tersebut merupakan hasil kerjasama kukuh antara BYD dan Sime Motors dalam membina ekosistem EV yang komprehensif di Malaysia.

Menurut beliau, peluasan rangkaian ini membolehkan BYD menyediakan sokongan yang lebih mantap sepanjang kitaran pemilikan kenderaan, selain meningkatkan keyakinan pelanggan dari segi servis serta nilai jualan semula.

Syarikat itu kini berada di landasan kukuh untuk mencapai 30,000 pelanggan di Malaysia menjelang April 2026, menandakan pertumbuhan pesat penerimaan EV dalam kalangan pengguna tempatan.

Konsep Bilik Pameran Baharu BYD Mansion

Seiring peluasan rangkaian, BYD Sime Motors turut merancang untuk memperkenalkan konsep bilik pameran baharu dikenali sebagai BYD Mansion di Macalister, Pulau Pinang.

Outlet utama ini bakal menggabungkan elemen budaya tempatan dengan falsafah reka bentuk BYD, sekali gus mewujudkan pengalaman premium yang lebih unik kepada pelanggan.

Konsep tersebut juga dijangka akan diperluaskan secara berperingkat ke bilik pameran lain pada masa akan datang.

Sokongan Teknikal EV

Bagi menyokong pertumbuhan pemilikan EV, BYD turut memberi perhatian kepada pembangunan kepakaran teknikal.

Ketika ini, rangkaian selepas jualan BYD disokong oleh 80 juruteknik EV bertauliah yang dilatih di BYD Academy, selain gudang alat ganti berpusat yang memastikan bekalan komponen sentiasa tersedia.

Langkah ini bertujuan mengurangkan tempoh menunggu servis, meningkatkan ketelusan perkhidmatan serta memastikan setiap kenderaan diselenggara oleh tenaga pakar yang terlatih.

Memacu Fasa Baharu Mobiliti Elektrik

Dengan peluasan rangkaian jualan, peningkatan kemudahan pengecasan dan pembangunan kepakaran teknikal, BYD Sime Motors kini sedang membina ekosistem lengkap bagi menyokong fasa seterusnya penggunaan EV di Malaysia.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna terhadap teknologi elektrik, malah membuka jalan kepada peralihan mobiliti yang lebih mampan dalam pasaran automotif tempatan.

Baca Juga : Jualan Luar Negara BYD Dijangka Cecah 1.3 Juta Unit Pada 2026

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi