Legenda dunia motorsport, Brembo membuat kejutan apabila secara rasmi melangkah masuk ke pasaran basikal melalui kerjasama strategik bersama Specialized Bicycles.
Melalui penyertaan ini, Brembo akan bekerjasama dengan pelumba elit Specialized Gravity Team Loïc Bruni, Jordan Williams, dan Finn Iles.
Mereka bakal membangunkan sistem brek cakera prototaip untuk perlumbaan menuruni bukit (downhill).
Meskipun lebih dikenali sebagai pembekal utama sistem brek untuk Formula Satu dan MotoGP, langkah Brembo ke dunia perlumbaan basikal bukannya asing sepenuhnya.
Pada tahun 2024, Brembo telah mengambil alih jenama suspensi tersohor, Öhlins
, yang turut menyokong pasukan Specialized Gravity.Maka, kemunculan Brembo dalam perlumbaan basikal ini dilihat sebagai satu penanda aras baru dari segi keupayaan teknikal dan kejuruteraan mereka di peringkat tertinggi.
Brek baharu yang sedang diuji oleh pelumba Specialized di beberapa pusingan awal UCI Downhill World Cup 2025 ini memperlihatkan reka bentuk yang agresif dan teknikal.
Antara ciri menarik yang dikesan:
Lever blade panjang dan lurus, menyerupai Hope Tech 4 V4 tetapi dengan reka bentuk minimalis tanpa tombol pelaras yang menonjol.
Pelaras kecil terbina di pangkal lever — dijangka untuk pelarasan reach.
Reka bentuk badan lever yang hampir dengan SRAM Maven, tetapi kelihatan lebih besar dan ergonomik.
Takungan bendalir (fluid reservoir) yang lebih tinggi, menyerupai TRP DHR EVO — mungkin untuk kapasiti bendalir lebih besar.
Kaliper empat piston untuk kuasa membrek maksimum pada kelajuan tinggi dan permukaan lasak.
Sebenarnya, Brembo bukan pendatang baharu sepenuhnya dalam arena brek basikal.
Sekitar 17 tahun lalu, pernah wujud sistem brek Brembo berkembar (twin-piston) yang kelihatan seakan gabungan reka bentuk Shimano dan Hope.
Namun, sistem baharu ini jelas jauh lebih maju menandakan lompatan teknologi besar sejak kemunculan pertama mereka.
Menurut kenyataan rasmi Brembo, fokus kolaborasi ini adalah eksklusif untuk perlumbaan Downhill World Cup sepanjang musim 2025.
Setakat ini tiada pengumuman mengenai pelancaran rasmi kepada umum, namun dari visual awal, unit prototaip kelihatan hampir lengkap untuk produksi.
Bagi peminat basikal berprestasi tinggi dan pencinta teknologi kejuruteraan Itali, ini mungkin petanda bahawa sistem brek cakera Brembo bakal berada di pasaran dalam masa terdekat.
Sama ada sebagai pilihan premium untuk penggemar downhill atau lambang status bagi jentera trail anda, kemunculan Brembo pastinya mengubah lanskap industri brek basikal.
Baca Juga : Xiaomi SU7 Ultra Catat Rekod Baharu EV di Nürburgring
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.