Automotif

BMW X5 xDrive50e M Sport, Model Hibrid Dengan Prestasi Tinggi!

Share

BMW Malaysia baru-baru ini memperkenalkan varian terbaharu mereka iaitu model BMW X5 hibrid plug-in premium (PHEV) atau nama rasminya BMW X5 xDrive50e M Sport yang dipasang di Malaysia. Sebelum ini, harga anggaran yang diumumkan oleh BMW adalah sekitar RM530,000 namun mereka baru melancarkan harga rasmi iaitu bermula RM486,800. Justeru itu, mari kita melihat beberapa perincian menarik yang ditawarkan oleh SUV canggih ini dan adakah sesuai dengan harga yang ditawarkan.

Penampilan Luaran

BMW X5 xDrive50e M Sport tiba dengan pakej M Sport sebagai standard, dengan gril depan yang dikemas kini dengan pencahayaan LED BMW Iconic Glow, reka bentuk lampu hadapan baharu yang lebih langsing sebanyak 35mm, dan lampu nyalaan siang (DRL) dengan reka bentuk X yang bergaya.

Rim aloi ringan M berukuran 21 inci V-Spoke 915 M Bi-colour dengan tayar versi dwi campuran menambah elegan moden dengan nuansa atletik pada BMW X5 M Sport ini.

Keselesaan dan Hiburan

Melihat ke bahagian dalam, paparan lengkung BMW Curved Display berukuran 14.9 inci dengan kluster paparan digital sepenuhnya menyambut pemandu di bahagian depan dan tengah, disokong oleh BMW Operating System 8.5 yang terkini. Ini termasuk BMW Live Cockpit Professional dan panel instrumen BMW yang menyokong pelbagai cara interaksi antara pemandu dan penumpang kereta kepada kenderaan itu sendiri, melalui penguasaan iDrive, suara, sentuhan, atau menggunakan pilihan Gesture Control.

Lampu Ambient Light Bar dengan struktur permukaan kristal, dan sistem audio Harman Kardon Surround turut disertakan sebagai standard, meningkatkan lagi pengalaman pemanduan.

Kredit Foto: BMW Malaysia

Kuasa dan Prestasi

Dalam hal pemanduan dinamik, BMW X5 M Sport dilengkapi dengan kuasa PHEV yang lebih hebat sebanyak 489 hp, meningkat sebanyak 96 hp berbanding versi sebelumnya, bersama-sama dengan peningkatan daya kilas sebanyak 700 Nm tork.

Kombinasi kuasa daripada enjin petrol 3.0-liter enam-silinder dan motor elektriknya yang bertenaga membolehkan X5 M Sport ini mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat.

Kitaran Elektrik yang Lebih Baik

Julat elektrik PHEV juga menerima peningkatan sehingga 110 km (WLTP), disertakan dengan pengecasan 7.4 kW yang diperbaharui, membenarkannya mencapai pengecasan 0-100% dalam 4.5 jam.

Konsol tengah X5 M Sport menampilkan susun atur dan kekunci sentuh tambahan, dengan perubahan gear kini dilakukan menggunakan suis rocker.

Kredit Foto: BMW Malaysia

Berikut merupakan spesifikasi utama bagi model facelift ini:

– Kuasa Maksimum: 360 kW (489 hp)

– Tork Maksimum: 700 Nm

– Kelajuan Maksimum: 250 km/j

– Penggunaan Tenaga (WLTP): 2.3 l/100 km

– Julat Elektrik (WLTP): Sehingga 110 km

– Sprint 0-100 km/j: 4.8 saat

– Panjang/Lebar/Tinggi: 4,935/2,004/1,755 mm

– Tambahan Berat (dengan pemandu): 2,495 kg

– Kapasiti Bagasi: 500 – 1,720 liter

Pilihan Warna dan Interior

BMW X5 xDrive50e M Sport akan hadir dalam warna Black Sapphire, Manhattan, Mineral White, dan Skyscraper Grey dengan reka bentuk kulit Merino dalam warna Black dan Tartufo. Selain itu ia turut dilengkapi dengan sistem Bantuan Pemandu Professional dan Parking Assistant Professional untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pemanduan.

Dengan gabungan ciri-ciri mewah, prestasi hebat, dan teknologi canggih, BMW X5 xDrive50e M Sport menawarkan pengalaman pemanduan yang luar biasa untuk pencinta kenderaan premium dengan harga dari RM486,800 sahaja.

Baca: BMW Group Malaysia Di Puncak Perniagaan Premium, Penyerahan 15,000 Unit Pada Tahun 2023

Baca: BMW Gegarkan Pasaran Tempatan Dengan Model Elektrik i5 eDrive40 M Sport

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan