
BMW iX1 eDrive20L M Sport kini rasmi ditawarkan di Malaysia dengan harga bermula RM252,800, selepas diperkenalkan sebelum ini kepada pasaran tempatan.
Model ini tampil sebagai versi jarak roda panjang (long wheelbase), direka khusus untuk meningkatkan tahap keselesaan penumpang, sekali gus menjadikannya antara pilihan menarik dalam segmen Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV) elektrik premium kompak BMW.
Perubahan utama yang dibawa oleh iX1 eDrive20L terletak pada dimensi yang lebih besar berbanding versi standard. Wheelbase dipanjangkan sebanyak 110 mm, manakala panjang keseluruhan meningkat 116 mm.
Penambahan ini memberikan impak ketara kepada ruang dalaman, khususnya di bahagian belakang dengan peningkatan ruang kaki sebanyak 81 mm dan ruang lutut sehingga 107 mm. Secara keseluruhan, konfigurasi ini menjadikan model ini lebih praktikal untuk kegunaan keluarga atau penumpang belakang yang mahukan keselesaan tambahan.
Sebagai model elektrik sepenuhnya (BEV), iX1 eDrive20L memberi fokus kepada kecekapan tenaga dan kesesuaian penggunaan harian.
Ia menawarkan jarak pemanduan sehingga 433 km mengikut kitaran WLTP, cukup untuk menampung keperluan perjalanan harian mahupun perjalanan jarak sederhana tanpa perlu kerap mengecas.
Walaupun menggunakan trenkuasa elektrik, karakter pemanduan yang sinonim dengan BMW masih dikekalkan. Model ini menawarkan pengendalian yang stabil, respons pedal yang lebih linear serta pengalaman pemanduan yang senyap dan lancar.
Ciri-ciri ini menjadikannya sesuai untuk kegunaan dalam bandar, khususnya bagi pengguna yang mahukan keselesaan tanpa mengorbankan elemen prestasi.
Dari sudut teknologi, iX1 eDrive20L dilengkapi dengan sistem infotainmen BMW Operating System terkini yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
Turut disertakan ialah BMW Intelligent Personal Assistant serta eSIM terbina dalam, membolehkan akses kepada pelbagai fungsi ketersambungan moden bagi meningkatkan pengalaman pengguna.
Sebagai sebahagian daripada rangkaian model elektrik BMW, iX1 eDrive20L hadir dengan pakej pemilikan yang lebih menyeluruh. Ini termasuk servis percuma selama enam tahun tanpa had perbatuan, waranti bateri selama lapan tahun serta sokongan BMW Roadside Assistance, memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik dalam jangka masa panjang.
Di Malaysia, BMW iX1 eDrive20L M Sport ditawarkan pada harga RM252,800 dengan pakej BMW Service & Repair Inclusive (BSRI), manakala tanpa pakej tersebut, harganya adalah RM268,600.
Untuk mereka yang memilih pelan pembiayaan Easy Drive, ansuran bulanan dianggarkan bermula sekitar RM3,035, bergantung kepada terma dan syarat pembiayaan.
Kehadiran BMW iX1 eDrive20L M Sport jelas mencerminkan pendekatan “Power of Choice” BMW dalam pasaran tempatan. Model ini dilihat sebagai alternatif praktikal untuk pengguna yang ingin beralih ke kenderaan elektrik tanpa mengorbankan ruang dan keselesaan.
Dalam konteks pasaran Malaysia, ia lebih sesuai untuk pembeli urban family yang mahukan EV premium dengan keseimbangan antara praktikaliti, teknologi dan pengalaman pemanduan.
Baca Juga : BMW X3 30 xDrive M Sport Baharu, Harga Bermula RM358,800
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
BMW X3 30 xDrive M Sport Baharu Lebih Berkuasa, Lebih Premium BMW X3 30 xDrive…
Harley-Davidson Malaysia memperkenalkan barisan model Harley-Davidson 2026 bagi pasaran tempatan, merangkumi kategori Grand American Touring, Cruiser…
EZI Ray 01, Solusi Mobiliti Elektrik Mampu Milik Untuk Rakyat Malaysia EZI Ray 01 kini…
