Suatu keputusan yang mematahkan hati peminat kereta, produksi pony car Chevrolet Camaro akhirnya tiba ke penghujungnya selepas berjaya menapak selama dua generasi sejak dilancarkan semula. Di kilang Lansing, Michigan, pada 14 Disember yang lalu, unit terakhir Camaro menghiasi barisan pengeluaran sebelum meluncur ke pasaran.
Unit terakhir yang keluar merupakan model ZL1 1LE yang dilengkapi dengan kotak gear manual. Namun, kehadiran model pengganti bagi Camaro masih tidak disahkan oleh pihak Chevrolet. Mereka dalam satu pengumuman pada bulan Mac sebelum ini menyatakan “ini bukanlah penamat bagi kisah Camaro.”
Sejarah Camaro bermula pada tahun 1967 sebagai saingan utama kepada Ford Mustang. Selepas berjaya melalui empat generasi, pengeluaran Camaro dihentikan pada tahun 2002. Keputusan untuk menghentikan generasi keempat dipengaruhi oleh jualan yang perlahan serta pasaran coupe sukan yang semakin berkurangan.
Pada tahun 2009, namanya dihidupkan semula dengan rekaan dan platform baru. Kejayaannya menjadikan Camaro sebagai kereta sukan Amerika paling diminati untuk beberapa tahun. Walau bagaimanapun, kejayaan yang sama tidak dapat dicapai oleh generasi keenam yang diperkenalkan pada tahun 2016.
Menurut rekod hingga suku ketiga tahun 2023, Chevrolet hanya berjaya menjual 24,688 unit Camaro. Angka ini jauh lebih rendah berbanding jualan tahun pertama (2016) yang mencatatkan 72,705 unit terjual.
Maka timbul persoalan, apakah akan berlakunya kesinambungan bagi namanya di dunia kenderaan elektrik yang semakin mendominasi? Adakah Camaro akan terus kekal sebagai pony car dalam era kenderaan elektrik (EV)? Atau malah, akan dilahirkan semula sebagai sebuah crossover elektrik yang menggegarkan prestasi?
Kini, para peminat setia Camaro menantikan jawapan terhadap nasib dan transformasi model ini di dalam landskap kenderaan elektrik yang semakin mencabar. Sementara itu, sisa-sisa nostalgia dan kekuatan warisan Camaro tetap menjadi sumber inspirasi bagi jenama Chevrolet untuk melangkah ke hadapan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.