Benelli Sei, Keunikan Enjin Enam Silinder Pertama Di Dunia Dari Itali

Share

Melihat kepada sejarah penghasilan motosikal, apabila bercakap mengenai enjin enam silinder, ia sering dikaitkan dengan model 1978 Honda CBX, 1047cc 6 Silinder. Namun, karya agung Itali, Benelli Sei, benar-benar layak diberikan  tumpuan kerana jenama ini menjadi motosikal enam silinder yang pertama dalam barisan pengeluaran enjin enam silinder.

1978 Honda CBX, 1047cc 6 Silinder

Perjalanan Benelli Sei bermula di bawah kepimpinan berwawasan Alejandro de Tomaso. Dia bercita-cita untuk menyegarkan semula jenama Benelli dan strateginya adalah untuk memperkenalkan model yang inovatif dengan pantas.

Idea asal motosikal ini mengambil inspirasi dari motosikal sedia ada dan diberi sentuhan unik. Honda CB500 Four berfungsi sebagai sumber inspirasi, dan seterusnya menghasilkan mesin 750cc enam silinder yang diperbaharui.

Cita-cita de Tomaso bukanlah meniru, tetapi bertujuan untuk mencipta motosikal enam silinder yang pertama di dunia dan dia mahu ia menjadi sebuah model yang menonjolkan  kekuatan dan prestasi.

Benelli Sei 750

Selepas penyelidikan yang teliti, CB500 dipilih sebagai model asas yang diyakini boleh menampung penambahan dua silinder baharu. Benelli Sei 750, bukan hanya replika dengan silinder tambahan tetapi Ia menampilkan motosikal yang menggunakan starter dan alternator yang ditempatkan semula dan menggunakan tiga karburetor.

Diperkenalkan pada tahun 1972, Benelli Sei adalah lebih dari sekadar keunikan kejuruteraan dengan menghasilkan 71 kuasa kuda  pada 8,500rpm dan kelajuan maksimum sehingga 190km/j.

Walau diperakui kehebatannya, Benelli Sei menghadapi cabaran di pasaran. Dengan harga yang agak tinggi, motosikal ini mendapat persaingan sengit daripada model lain seperti Kawasaki Z1 900, MV Agusta 750 S, dan Ducati Super Sport sehingga mempengaruhi penjualannya.

Benelli Sei 900

Pada tahun 1978, Benelli Sei ditambah baik menjadi versi 900cc. Dengan enjin yang lebih besar dan panjang, kapasitinya meningkat menjadi 906cc. Walaupun ia menghasilkan kuasa kuda yang lebih tinggi sebanyak 80 kuasa kuda, kelajuan maksimumnya sedikit berkurang daripada model sebelumnya. Walau bagaimanapun, 900 Sei mengekalkan ciri-ciri yang sama dengan model sebelumnya dengan menawarkan kestabilan, ketangkasan, dan kuasa brek yang mengagumkan.

Pada tahun 2023, kedua-dua versi Benelli Sei 750 dan 900 adalah model yang sangat berharga dalam kalangan pengumpul. Statusnya sebagai motosikal pengeluaran enam silinder pertama di dunia dan digabungkan dengan pengeluaran yang terhad menjadikannya ia sebuah motosikal klasik yang dicari oleh para pengumpul.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

 

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi