
Aveta Motor Malaysia mengumumkan ketibaan versi dipertingkat bagi Vanguard 250 untuk tahun 2026, menampilkan 10 penambahbaikan utama yang memberi fokus kepada keselesaan, praktikaliti dan fleksibiliti tunggangan.
Model ini akan mula berada di pengedar sah seluruh negara bermula awal Mac 2026.
Sejak diperkenalkan, Vanguard 250 mencipta identiti tersendiri dalam segmen Adventure Touring Crossover (ATC) tempatan.
Ia menggabungkan elemen skuter automatik dengan gaya serta ergonomik motosikal adventure, sekali gus menawarkan keseimbangan antara penggunaan harian dalam bandar dan perjalanan jarak jauh.
Dari segi trenkuasa, motosikal ini masih menggunakan enjin 250cc silinder tunggal sejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi CVT automatik. Karakter enjin ini sesuai untuk tunggangan santai mahupun jelajah sederhana jauh, dengan posisi tunggangan tegak yang lebih selesa untuk tempoh lama.
Rangka dan konfigurasi asas model ini dikekalkan, namun versi 2026 memberi penekanan terhadap naik taraf berdasarkan maklum balas komuniti penunggang serta pengalaman penggunaan sebenar.
Antara pembaharuan yang diperkenalkan adalah:
Paparan digital TFT 7-inci dengan fungsi skrin sentuh
Cermin hadapan boleh laras secara elektrik
Reka bentuk suis kawalan baharu
Pelindung ekzos dipanjangkan untuk perlindungan haba lebih baik
Penutup enjin baharu bagi memudahkan penyelenggaraan
Tapak kaki pembonceng dipertingkatkan
Ruang simpanan bawah tempat duduk kini boleh memuatkan helmet full-face
Reka bentuk tempat duduk baharu yang lebih selesa
Penyerap hentak belakang boleh laras
Sistem ABS dan TCS yang boleh ditutup
Naik taraf ini menjadikan motosikal ini lebih versatil, khususnya bagi penunggang yang menggunakan motosikal ini untuk kombinasi perjalanan harian dan aktiviti konvoi atau touring hujung minggu.
Vanguard 250 (2026) ditawarkan dalam dua pilihan warna baharu iaitu Nano Green dan Desert Bronze. Harga jualan asas ditetapkan pada RM16,688, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Dengan penambahbaikan menyeluruh ini, Aveta terus memperkukuh kedudukan Vanguard 250 sebagai antara pilihan utama dalam segmen ATC 250cc di Malaysia, menawarkan pakej lengkap pada harga yang kekal kompetitif.
Baca Juga : Edisi Twilight Blue, AVETA Vanguard 250 SE Berwajah Baru
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok